Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim (tengah) menyampaikan cek cura RM100,000 kepada Penyelia Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Ukhuwah, Sabak Bernam Rosnah Mohamed Razalli pada majlis Iftar Ramadan Kasih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 20 Mac 2024. Turut sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon (kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN
AGENSISELANGOR

PKNS santuni anak yatim, serah sumbangan RM100,000 kepada Pertubuhan Ukhuwah

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 21 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim / Miskin Sabak Bernam (Ukhuwah) sempena Majlis Iftar Ramadan Kasih perbadanan itu, di sini semalam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon berkata sumbangan tersebut adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat perbadanan itu menyantuni golongan kurang bernasib baik termasuk anak yatim.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim menyantuni anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Ukhuwah, Sabak Bernam pada majlis Iftar Ramadan Kasih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN

“Ini sekali gus mencerminkan komitmen perbadanan dalam memberi kembali kepada masyarakat terutama pada bulan Ramadan.

“Sumbangan ini juga bagi menampung kos baik pulih bangunan asrama rumah kebajikan tersebut dan keperluan anak-anak di situ,” katanya pada Majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Turut hadir EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim dan EXCO Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah.

Pada majlis sama, PKNS meraikan 45 anak yatim daripada Pertubuhan Ukhuwah yang turut menerima sumbangan duit raya.

Anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Ukhuwah, Sabak Bernam ketika hadir pada majlis Iftar Ramadan Kasih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN

Suhaimi berkata lagi, lebih RM129,000 telah diperuntuk untuk menggerakkan lima siri aktiviti sempena Ramadan Kasih PKNS, yang mana sebahagiannya menggunakan wakalah agihan zakat perniagaan PKNS.

“Aktiviti CSR sebegini adalah program tradisi yang dilaksanakan Perbadanan setiap Ramadan sejak tahun 2014.

“Sebanyak lima siri aktiviti dijalankan antaranya bubur lambuk, bekal Ramadan dan beli-belah Raya Ramadan Kasih PKNS,” katanya.

Majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS 2024 turut dihadiri hampir 500 kakitangan dan diserikan dengan tazkirah bertajuk Ramadan Bulan Madrasah oleh penceramah Ustaz Haslin Bollywood.


Pengarang :