EXCO Pelaburan dan Perdagangan Ng Sze Han (tengah) bergambar bersama rakan penaja selepas sidang media Program Pendaratan Pelaburan Selangor di Pusat Pentadiran SUK, Shah Alam pada 5 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Program Pendaratan Pelaburan Selangor dibuka, langkah tarik pelabur

SHAH ALAM, 5 MAC: Selangor menjadi negeri pertama menyediakan kemudahan termasuk ruang kerja bagi menarik pelabur ke negeri ini menerusi program Pendaratan Pelaburan Selangor.

EXCO pelaburan berkata program dibuka 1 Mac hingga 31 Disember itu mengehadkan penyertaan 38 syarikat dari dalam atau luar negara.

Jelas Ng Sze Han, syarikat dari kluster elektrik dan elektronik, makanan dan minuman, sains hayat, pengangkutan, peralatan mesin, perkhidmatan logistik serta pelaburan digital diberi keutamaan menerusi projek rintis ini.

“Program melibatkan dua fasa ini menyediakan platform menyeluruh dan sokongan khas kepada syarikat untuk meneroka pelaburan negeri sebelum membuat keputusan melabur di sini.

“Menerusi program ini, bakal pelabur ditawarkan sokongan ekosistem perniagaan, ruang kerja, pembangunan bakat serta tawaran kediaman di beberapa hotel terkemuka dengan harga berpatutan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sze Han berkata idea penganjuran program dibuat selepas menerima maklum balas dari pelabur ketika penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada Oktober tahun lalu.

“Ramai berminat untuk melabur di sini namun mereka tidak mengetahui keseluruhan ekosistem perniagaan di sini. Jadi ini merupakan langkah memperkenalkan negeri selain mengalukan kehadiran mereka.

“Program ini juga dapat menggalakkan pertumbuhan pelabur baharu. Kita yakin projek akan berjaya dan bakal diperluas tahun depan. Sejak dibuka lima hari lalu, ada beberapa syarikat sudah berminat untuk sertai,” katanya.

Program melibatkan kerjasama strategik dengan beberapa hotel terkemuka antaranya DoubleTree By Hilton, Concorde Shah Alam, Best Westerners i-City, Courtyard By Marriot, Wyndham dan Dash Box Cyberjaya.

Maklumat lanjut program boleh didapati di laman web www.investselangor.my atau email kepada [email protected].


Pengarang :