Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyumbangkan kupon Infaq Yatim YIDE selepas menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim di Masjid Nurul Iman, Serendah, Hulu Selangor pada 23 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Yide sasar kutipan kupon infak RM2 juta tahun ini

HULU SELANGOR, 23 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyasar kutipan Kupon Infaq Yatim sebanyak RM2 juta sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Mazlan Mansor berkata sasaran tersebut susulan hasil memberangsangkan yang diperoleh agensi itu dengan jumlah RM1.2 juta pada tahun lalu.

“Pada tahun lepas kita sasar kutipan kupon infak sebanyak RM1.5 juta dan syukur kerana kita dapat hasil yang agak baik iaitu sebanyak RM1.2 juta.

“Maka tahun ini kita sasarkan RM2 juta pula. Insya-Allah kita yakin akan dapat lebih atau mencapai sasarannya,” katanya pada majlis sumbangan Aidilfitri di Masjid Nurul Iman, Serendah di sini hari ini.

Pada majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri bernilai RM73,050 kepada 487 anak-anak yatim di Hulu Selangor.

Mazlan menambah, setakat ini kupon infak dengan nilai RM2 setiap satu yang diletakkan bersebelahan amil kutipan zakat mendapat sambutan yang baik di seluruh masjid negeri ini.

“Setakat ini sambutan yang kita terima amat baik. Namun mungkin masih ada yang belum tahu mengenai kupon infak ini. Saya harap ia dapat disebar luas pada Ramadan ini,” katanya.

Yide merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksana aktiviti kebajikan seperti menyalur sumbangan kecemasan kepada mangsa ditimpa musibah dan menguruskan hal ehwal anak yatim.

 


Pengarang :