Oleh NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM, 15 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan 10 van jenazah bernilai RM1.49 juta kepada masjid terpilih di negeri ini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata zakat di bawah kategori asnaf fisabilillah itu bertujuan memudahkan pengurusan jenazah terutama masjid mempunyai ramai kariah.
“Bantuan ini disalur kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk mengurus jenazah terutama di kawasan luar bandar selain mempunyai kariah yang ramai.
“Untuk makluman, sumbangan van jenazah ini adalah sebahagian daripada sumbangan zakat di bawah Program Pembangunan Institusi Agama yang bermula sejak 2013 sehingga kini,” katanya menerusi kenyataan.
Penerima melibatkan Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13 dan Masjid Al-Amin Seksyen 17 (daerah Petaling) serta Masjid Marzukiah Kampung Lubuk Pusing dan Masjid Baitul Rahman Parit ii Sungai Nibong (daerah Sabak Bernam).
Serahan juga kepada Masjid Jamek Nurul Islamiah Sungai Choh Old dan Masjid As Sajidin Batang Kali (daerah Hulu Selangor) serta Masjid Bukit Kapar 2 Kampung Bukit Kapar dan Masjid Al Qayyum Bandar Armada Putra (daerah Klang).
Turut menerima ialah Masjid Nurul Islam, Blok Y One (daerah Kuala Selangor) dan Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota (daerah Hulu Langat).