GOMBAK, 28 APRIL: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri parlimen Gombak di Dataran Sungai Tua di sini malam ini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung pelbagai kaum.
Bermula jam 8 hingga 11 malam, program diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar yang juga ahli parlimen kawasan itu selain Ahli Dewan Negeri Sungai Tua.
Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap berkata kehadiran pengunjung pelbagai kaum pada majlis itu membuktikan semangat rakyat untuk bersama-sama Kerajaan Perpaduan semakin kuat dan utuh.
“Suka saya sebutkan bahawa pentadbiran di peringkat negeri dan persekutuan berada dalam satu suasana yang sangat baik dengan sokongan dan dorongan daripada Kerajaan Perpaduan.
“Semoga sambutan Aidilfitri ini mengukuhkan perpaduan dan menambah semangat persaudaraan antara kita semua untuk hari ini dan masa depan,” katanya.
Terdahulu, Amirudin beramah mesra dengan pengunjung dan memenuhi permintaan mereka yang mahu bergambar, melawat gerai juadah serta menyampaikan sumbangan duit raya kepada lebih 200 kanak-kanak.
Lebih 10 gerai menghidangkan pelbagai juadah antaranya char kuetiau, nasi lemak, nasi goreng dan mi goreng, apam balik serta roti john disediakan untuk pengunjung.
Sepanjang majlis berlangsung pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Unit Kebudayaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).