Buku Islam Di Nusantara: Kitab Kuning, Pesantren dan Tarekat tulisan Martin van Bruinessen diterbit oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto Facebook IBDE
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ajaran tasawuf warnai generasi pertama Islam di Asia Tenggara

Mana-mana teori tentang Islamisasi Nusantara Melayu perlu menjelaskan kenapa proses tersebut bermula pada masa dan ketika itu, bukan beberapa abad sebelum atau selepasnya.

Muslim dari negeri asing mungkin sudah menetap di pelabuhan-pelabuhan dagang di Sumatera dan Jawa selama beberapa abad, tetapi hanya pada akhir abad ke-13 kita menemui adanya jejak-jejak orang Islam peribumi.

Bukti pertama bermula dari pantai utara Sumatera, di mana beberapa kerajaan Muslim yang sangat kecil–atau lebih tepat negara pelabuhan–muncul, iaitu kerajaan Perlak dan kerajaan kembar Samudera dan Pasai.

Sepanjang abad ke-14 dan ke-15, Islam beransur-ansur tersebar melampaui pantai Sumatera dan Malaya ke pantai utara pulau Jawa dan beberapa pulau pengeluar rempah-ratus di Indonesia Timur.

Cara perpindahan agama ini berlangsung tidak dicatat dengan baik sehingga menimbulkan perdebatan sengit. Proses tersebut tidak mungkin berjalan menurut pola yang seragam di seluruh Nusantara.

Perdagangan dan pakatan politik antara pedagang dan raja pastinya memainkan peranan, selain perkahwinan antara pedagang Muslim yang kaya dengan puteri bangsawan setempat.

Di beberapa wilayah, seperti yang diceritakan banyak sumber setempat, Islam juga telah disebarkan dengan menggunakan pedang.

Bagaimanapun secara umumnya proses pengislaman berlangsung secara damai. Ada anggapan umum bahawa tasawuf dan pelbagai tarekat telah memainkan peranan yang amat penting dalam proses tersebut.

Untuk beberapa abad pertama, pengislaman Asia Tenggara berjalan serentak dengan waktu tersebarnya tasawuf abad pertengahan dan pertumbuhan tarekat.

Abu Hamid al-Ghazali, tokoh yang telah menghuraikan konsep moderat tasawuf akhlaqi yang dapat diterima kalangan fuqaha, wafat pada tahun 1111.

Ibn al-‘Arabi, yang karyanya mempengaruhi ajaran hampir semua sufi yang muncul terkemudian, wafat pada tahun 1240.

Abdul Qadir al-Jilani, yang ajarannya menjadi dasar tarekat Qadiriah, wafat pada tahun 1166. Abul Hasan al-Syazili, sufi Afrika Utara yang mengasaskan tarekat Syaziliah, wafat pada tahun 1258.

Amalan sufi

Islam yang diajarkan kepada generasi pertama Asia Tenggara yang memeluk agama tersebut barangkali sangat diwarnai pelbagai ajaran dan amalan sufi.

Para sejarawan berpandangan perkara inilah yang menarik minat masyarakat Asia Tenggara kepada Islam. Dengan kata lain, perkembangan tasawuf merupakan salah satu faktor yang membolehkan proses pengislaman berlangsung di Asia Tenggara.

Ajaran kosmologi dan metafizik tasawuf Ibn al-‘Arabi dengan mudah dipadukan dengan gagasan sufistik India dan sufistik pribumi yang dianuti masyarakat setempat.

Seperti yang dinyatakan A.C. Milner, konsep insan kamil amat berpotensi untuk digunakan sebagai pengabsah keagamaan bagi para raja, keabsahan yang tidak ditemukan dalam Islam yang berkembang pada zaman sebelum itu yang lebih bersemangat kesetaraan.

Di kesultanan Buton (Sulawesi Tenggara) yang sangat kecil, ajaran sufi tentang tajalli ilahiah menerusi tujuh tingkat (“martabat tujuh”) dimanfaatkan untuk menjelaskan bentuk masyarakat yang berlapis, yang terdiri daripada tujuh lapisan sosial yang menyerupai kasta.

Ilmuwan Australia Anthony Johns berpandangan pengislaman di rantau itu dapat berjalan kerana giatnya dakwah yang digerakkan para sufi yang datang bersama pedagang luar.

Para penyebar Islam bercorak sufi ini memang disebut dalam banyak laporan peribumi.

Johns bahkan mengajukan spekulasi bahawa ada hubungan yang erat antara kesatuan sekerja (guild), tarekat-tarekat sufi, dan para penyebar Islam ini yang membentuk daya pendorong kepada proses pengislaman.

Sesetengah pihak mungkin melihat hipotesis ini sebagai sesuatu yang menarik, namun tiada bukti yang menyokongnya.

Amat disangsikan bahawa perdagangan muslim asing di Asia Tenggara pernah tersusun dalam bentuk yang sama dengan kesatuan sekerja, manakala sumber-sumber paling awal yang menyebut tentang tarekat bermula pada akhir abad ke-16.

Keramat

Islam Indonesia hingga kini masih diliputi sikap sufistik dan minat terhadap hal-hal yang mengandungi keramat.

Di samping sejumlah tarekat tempatan dan pelbagai aliran tasawuf sinkretik, beberapa tarekat antarabangsa yang besar meraih banyak pengikut setia–sebahagiannya sampai ratusan ribu orang.

Abad lalu menyaksikan banyak usaha kaum pembaharu untuk membersihkan Islam daripada pelbagai sisi sufistik dan magisnya, dan sebahagian usaha itu memang berjaya.

Memang menarik untuk menggunakan kecenderungan masa kini bagi ‘membaca’ zaman lalu dan maka menganggap Islam tersebar ke Indonesia dengan pakaian sufi, selain untuk mendakwa kecenderungan mistik di zaman awal Islam di Nusantara lebih kuat berbanding zaman selepasnya, dan hanya mutakhir ini muncul pendekatan “ketat” yang mempunyai kaitan dengan kajian fekah.

Kita tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya. Tiada sumber pribumi yang lebih tua daripada beberapa sumber pada akhir abad ke-16 yang masih terpelihara pada zaman kemudian.

Sumber asing kontemporari pula tidak memberikan sebarang keterangan tentang persoalan tersebut.

Dua pengamatan ini sewajarnya mendorong kita untuk lebih berhati-hati dalam membuat kesimpulan bahawa tarekat memainkan peranan amat penting sewaktu gelombang pengislaman yang pertama.

Di antara manuskrip Islam paling tua dari Jawa dan Sumatera yang masih terpelihara sampai sekarang (dibawa ke Eropah sekitar tahun 1600), kita bukan sekadar menemui risalah tasawuf dan kisah penuh keajaiban dari Parsi dan India, tetapi juga kitab ilmu fekah baku.

Risalah-risalah keagamaan berbahasa Jawa paling tua yang masih ada sampai sekarang menunjukkan seperti pernah ada usaha untuk mencari keseimbangan antara ajaran ketuhanan, fekah dan tasawuf.

Hanya dalam tulisan Jawa pada zaman terkemudian kita mengetahui wujudnya ajaran-ajaran tasawuf yang jauh lebih kental. Berkenaan tarekat pula, tampaknya ia tidak memperoleh banyak pengikut sebelum akhir abad ke-18 dan abad ke-19.

Petikan muka surat 181-184 buku Islam Di Nusantara: Kitab Kuning, Pesantren dan Tarekat tulisan Martin van Bruinessen. Ia boleh dibeli melalui bukuibde.com atau Facebook Buku IBDE.

 


Pengarang :