AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bandar kaya sejarah antara faktor KKB jadi pilihan lokasi rumah terbuka

SHAH ALAM, 25 APRIL: Keunikan dan warisan sejarah dimiliki Kuala Kubu Bharu (KKB) antara faktor bandar berkenaan dipilih sebagai lokasi rumah terbuka Aidilfitri Selangor pada 27 April.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Dato’ Mohd Yazid Sairi menjelaskan kawasan itu juga mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang boleh memikat pengunjung ke sana.

“Selain bandarnya yang unik, bandar itu juga kaya nilai sejarah dan banyak lokasi pelancongan. Orang ramai juga boleh bermalam beberapa hari untuk mengunjungi tempat-tempat menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yazid memberitahu pentadbiran negeri menyasarkan 25,000 pengunjung untuk memeriahkan rumah terbuka bertemakan Riuh Raya #KitaSelangor bermula jam 8 hingga 11 malam.

Jelasnya, program yang menyediakan juadah menarik di 48 gerai juga dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, barisan EXCO, pegawai Kerajaan Negeri dan ketua kampung.

“Untuk maklumat lanjut, layari Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.


Pengarang :