Mendiang Lee Kee Hiong bersama Sasterawan Negara Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh (tengah) dan Prof Dr Siti Zainon Ismail (tiga, kiri) ketika pelancaran buku pada 25 Disember 2015. Foto Facebook Lee Kee Hiong
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Lee hargai budaya Melayu, sasterawan puji martabat tulisan jawi

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Mendiang Lee Kee Hiong yang dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu (KKB) sejak 2013 terkenal akrab dengan budaya Melayu dan Islam sepanjang perkhidmatannya.

Beliau bersungguh-sungguh menghidupkan kesenian Melayu, bahkan mengundang Sasterawan Negara (SN) Datuk A Samad Said atau Pak Samad dan Prof Dr Siti Zainon Ismail berkampung di KKB.

Dalam acara Seni dan Masyarakat bersama Pak Samad selama tiga hari mulai 8 Oktober 2015, penulis novel Hujan Pagi itu mencurah pengalaman dan pemikirannya bersama penduduk tempatan.

Beliau juga melancarkan pameran lukisan di Galeri Seni dan Sastera Hulu Selangor dan melawat mural karya anak tempatan yang dilukis pada dinding bangunan sekitar pekan selain berpuisi di Dataran Kota Kubu Bharu.

Mendiang Lee Kee Hiong menyambut aktivis teater Indonesia Ken Zuraida, balu seniman terkenal WS Rendra, untuk berforum tentang buku puisi suaminya pada 31 Mac 2017. Foto Facebook Lee Kee Hiong

Dua bulan kemudian, Siti Zainon pula dijemput mengadakan program sama termasuk memberi penerangan mengenai adab berbusana Melayu di Galeri Sejarah KKB pada 25 dan 26 Disember.

Menurut Pengerusi Sejarah Kuala Kubu (Peskubu) Md Ridzuan Idris yang terlibat dalam acara tersebut, Kee Hiong menanggung perbelanjaan program berkenaan.

“Kami sediakan program. Beliau beri dana (perbelanjaan). Semua datang daripada pejabat YB,” katanya yang menyifatkan wakil rakyat itu gigih menyemarakkan seni dan budaya Melayu.

Kedua-dua acara tersebut dijalankan dengan kerjasama Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Program itu menggamit kehadiran budayawan, sasterawan dan penggiat seni tempatan. Malah, SN Muhammad Haji Salleh hadir sama. Penyair Indonesia juga menyertai acara berkenaan.

Martabat jawi

Kee Hiong juga dipuji Siti Zainon berikutan mendiang mengutamakan jawi dan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris dalam tulisan poster penganjuran acara seni bertaraf antarabangsa.

“Syabas Kuala Kubu Bharu. Poster sejarah seni yang memaknai warna budaya tanah air. Memartabat jawi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” kata budayawan itu pada 28 November 2018 di Facebook.

Keprihatinan terhadap tulisan jawi tidak berakhir di situ. Mendiang mengadakan Pertandingan Tulisan Khat (Jawi) dan Kaligrafi Cina yang disertai pelbagai kaum pada 2 Disember 2019.

Program julung kali itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,000, naib juara (RM800), ketiga (RM500) disertai 80 peserta dari Selangor, Johor, Melaka, Kelantan, Pahang dan Perak.

Prof Dr Siti Zainon Ismail menunjukkan bakat melukis di Pasar Awam Kuala Kubu Bharu pada 26 Disember 2015. Foto Facebook Lee Kee Hiong

Bagi Pesta Seni Antarabangsa Kuala Kubu Bharu pula, acara berkenaan menjulang imej KKB di pentas dunia berikutan kira-kira 30 pelukis daripada 14 negara berkampung selama 10 hari.

Karyawan China, Sri Lanka dan Jepun melukis, berforum dan berbengkel di Perpustakaan Syed Mashor Kuala Kubu Bharu dalam penganjuran mulai 1 Disember 2016.

Penggiat teater Indonesia Ken Zuraida, isteri penyair terkenal Indonesia WS Rendra, juga berbengkel bersama penggiat seni tempatan di Galeri Seni pada 1 dan 2 April 2017.

Mendiang juga melancarkan buku yang merakam sejarah dan keunikan KKB. Pertama, A Town Planning History: Charles Reade Town Planning British Malaya 1921-1929 karya Kamaruldin Shamsuddin pada 2015.

Mendiang Lee Kee Hiong melancarkan buku A Town Planning History: Charles Reade Town Planning British Malaya 1921-1929 karya Kamaruldin Shamsuddin pada 14 Ogos 2015. Foto Facebook Lee Kee Hiong

Sebuah lagi, buku Small Town hasil tulisan bekas wartawan Rehman Rashid dirasmikan pada 23 Oktober 2016.

“Saya rasa beliau patut dikenang kerana mengembangkan seni dan budaya di Kuala Kubu Bharu,” kata Md Ridzuan merujuk pemergian Kee Hiong pada 21 Mac akibat barah yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.

Berikutan kekosongan kerusi tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pilihan raya kecil pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei. Proses penamaan calon 27 April.

PRK berkenaan yang ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum 2023. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.

 


Pengarang :