Penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) bersorak apabila mendengar amanat dari pimpinan HARAPAN ketika Ceramah Mega HARAPAN Gombak sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Pinggiran Batu Caves, Gombak pada 17 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN PRK Kuala Kubu Bharu diumum sebelum 27 April

SHAH ALAM, 7 APRIL: Pengumuman calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu akan berlangsung sebelum hari penamaan calon pada 27 April.

Setiausaha HARAPAN negeri Dr Mohd Khairuddin Othman berkata calon yang bertanding pilihan raya kecil (PRK) itu diputuskan oleh pimpinan pusat berdasarkan senarai nama yang dikemukakan DAP.

“HARAPAN Selangor juga melantik EXCO Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara Ng Sze Han sebagai pengarah PRK Kuala Kubu Bharu. Beliau akan dibantu  Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin, Mohd Khairuddin dan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof.

“Pasukan ini akan menyelaras gerak kerja dan kempen yang akan dirangka HARAPAN Selangor dengan HARAPAN Pusat serta parti-parti dalam dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata pasukan tersebut akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa utama yang bersedia untuk bergerak secara rasmi bermula dari hari penamaan calon sehingga hari mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei manakala penamaan calon dan pengundian masing-masing ditetapkan pada 27 April dan 7 Mei.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas.

Lee, 58, yang menjadi ADN Kuala Kubu Bharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.


Pengarang :