ADN Meru Mariam Abdul Rashid beramah mesra bersama penduduk ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Meru di Taman Dato’ Bandar, Klang pada 16 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Meru agih lebih RM60,000 sepanjang Ramadan, bantu pihak memerlukan

KLANG, 16 APRIL: Lebih RM60,000 dibelanjakan sepanjang Ramadan lalu bagi memberi sumbangan kepada masjid dan surau selain menyediakan bantuan bakul makanan.

Ahli Dewan Negeri Meru Mariam Abdul Rashid berkata pihaknya menyerahkan RM1,000 kepada 36 surau manakala empat masjid menerima RM2,000 bagi menjalankan aktiviti pengimarahan.

“Kita juga peruntuk sejumlah wang untuk memberi bakul makanan kepada 50 asnaf sebagai langkah meringankan beban belanja serta melengkapkan keperluan raya penerima.

“Dalam masa sama, kita jayakan juga program iftar bersama penduduk. Selain berbuka puasa bersama-sama, program juga mendekatkan pemimpin dengan penduduk sekitar,” katanya ditemui di program Jualan Ehsan Rahmah di sini hari ini.

Tahun ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan RM4 juta bagi menjayakan program Ihya Ramadan merangkumi sumbangan untuk masjid, surau, golongan asnaf dan penganjuran berbuka puasa.

 


Pengarang :