Ida Faizura Megat Muhaiyadin atau Jua (kanan) bersama suami menghasilkan tempahan nasi kabsah, satu lagi hidangan istimewa yang dipasarkan melalui media sosial. Foto Instagram Jua Cook & Bake
RENCANAWAWANCARA

Korban kerjaya demi anak, bekas peguam ‘masuk dapur’ cari rezeki

Gemarkan cabaran dan tidak takut mencuba sesuatu yang baharu dalam kehidupan membuka lembaran penuh warna-warni buat bekas peguam hartanah Ida Faizura Megat Muhaiyadin.

Mesra disapa Jua, kerjaya wanita berusia 48 tahun itu dalam dunia korporat bermula sebaik tamat pengajian di Universiti of Wales, United Kingdom seperti diingini bapanya.

Selepas lima tahun berkhidmat, Jua inginkan perubahan dan tidak lagi mahu terikat dengan rutin sedia ada. Dibulatkan tekad, keputusan untuk berhenti dibuat ketika bercuti di Bali.

Dia bersyukur kerana suaminya memberi sokongan penuh. Alasan Jua, dia enggan berada dalam zon selesa, malah kecintaan terhadap perniagaan juga membuak-buak ketika itu.

Minat terhadap fesyen dizahirkan melalui penjualan pakaian secara kecil-kecilan. Ia kemudian berkembang kepada tiga cawangan menjadikan Jua gembira usahanya membuahkan hasil.

Krisis hidup

Bagaimanapun, langit tidak selalu cerah. Selepas beberapa tahun, perniagaannya mula goyah dan berdepan masalah kewangan serius. Tiada lagi untung dijana.

Hidupnya mula goyah. Bagaikan jatuh ditimpa tangga, Jua terus diuji apabila anak bongsunya pula disahkan menghidap autisme dan memerlukan rawatan serta penjagaan rapi.

Keju feta bersama bayam

Dengan berat hati, perniagaan terpaksa ditutup untuk memberi tumpuan kepada anak istimewanya. Namun, Jua tidak pernah sesekali berputus asa. Dia percaya ada pelangi selepas hujan.

Selain menjaga anak sepenuh masa di rumah, dia juga rajin memasak pelbagai juadah. Ketika itu, terdetik lagi di hatinya untuk kembali berniaga bagi menjana pendapatan.

Apatah lagi rawatan anaknya memerlukan kos yang tinggi. Jua sedar alternatif lain perlu dicari, lalu hasrat itu dinyatakan kepada suami. Kali ini perkhidmatan katering menjadi pilihan.

“Ia merupakan proses yang panjang. Setelah membuat pertimbangan teliti, saya mahu menceburi industri makanan meskipun menyedari tidak mempunyai latihan profesional.

“Keputusan ini hanya berdasarkan minat dan keyakinan untuk memasak. Saya juga menerima sokongan padu suami yang bersedia membantu saya memulakan perniagaan makanan,” katanya kepada Selangorkini.

Hidangan lasagne yang menjadi sajian istimewa Jua

Guna platform media sosial

Pada peringkat awal, Jua banyak menonton video dari YouTube jurumasak terkenal dunia untuk mengasah bakat. Dia bereksperimen di dapur sendiri ketika waktu senggang.

Pelbagai menu masakan dicuba antaranya lasagne, keju feta bersama bayam dan bruschetta tomato. Dia banyak membuat masakan barat berdasarkan pengalaman belajarnya di luar negara.

Kaedah ‘cuba-cuba’ digunapakai ketika memasak sehingga dia betul-betul menemukan rasa yang sempurna sebelum dipasarkan kepada orang ramai melalui media sosial.

Berbekalkan keyakinan diri, Jua akhirnya menjual sajian istimewanya lasagne di Instagram Jua Cook & Bake. Dia banyak menerima tempahan kecil-kecilan daripada keluarga dan kenalan.

Dalam kesibukan, Jua kemudian mencabar diri untuk menyertai program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi bagi mengasah lagi bakat memasak selain menimba ilmu daripada pakar.

Jua menyertai program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi dan dinobatkan sebagai naib juara

Dimensi baharu

Menyertai pertandingan itu membuka satu lagi babak baharu dalam hidup Jua. Di situ, dia ditemukan dengan cef selebriti Sheila Rusly dan Anne Idris serta mencuba aneka resipi baharu.

Selain memasak hidangan barat yang menjadi kemahirannya, Jua turut berdepan cabaran lain iaitu memasak menu tempatan dan timur tengah seperti nasi kabsah dan laksam.

“Hidangan Melayu bukan kemahiran saya, justeru ia sesuatu yang baharu dalam mempelajari masakan. Cabaran ini semestinya memberi suatu pengalaman yang amat berharga.

“Nasib sungguh memihak kepada saya kerana diumumkan sebagai pemenang dalam cabaran itu dan melayakkan saya sebagai salah seorang peserta akhir program berkenaan,” jelasnya.

Meskipun meraih tempat kedua, Jua tetap gembira kerana berjaya membuktikan kebolehannya untuk menceburi bidang lain serta mengharungi pelbagai cabaran hidup.

Memiliki lebih 24,000 pengikut di Instagram ketika ini, Jua terus berusaha meningkatkan kandungan di platform berkenaan bagi meluaskan lagi capaian audiens.

Harapan Jua perniagaan makanan dalam talian yang diusahakan bersama suami akan terus bertahan untuk jangka masa panjang, sekali gus dikenali ramai.

 


Pengarang :