Jemaah umrah dan rombongan pengantin antara penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu apabila Malaysia Airlines dan Airasia membatalkan penerbangan antara Sabah, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan letusan Gunung Ruang di Indonesia pada 18 April 2024. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Malaysia Airlines sambung berperingkat penerbangan ke Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Malaysia Airlines menyambung semula penerbangan ke dan dari Sabah, Sarawak dan Labuan secara berperingkat sejak petang semalam (18 April) susulan keadaan semasa cuaca.

Syarikat penerbangan itu dalam kemas kini di media sosialnya hari ini berkata perkembangan positif ini adalah susulan pembatalan penerbangan yang perlu dilaksanakan akibat letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.

“Sementara syarikat penerbangan dalam usaha untuk memulihkan operasi biasa secepat mungkin, beberapa penerbangan Malaysia Airlines yang dijadualkan hari ini telah dibatalkan dengan mempertimbangkan keadaan cuaca dan keselamatan operasi,” katanya.

Menurutnya ia akan memberi kemas kini pada akaun media sosialnya secara berkala dan berkomunikasi terus dengan pelanggan yang terjejas sekiranya terdapat sebarang perubahan terhadap penerbangan.

“Penumpang diminta mengemas kini butiran maklumat untuk dihubungi melalui My Booking di laman web Malaysia Airlines untuk menerima kemas kini yang tepat pada masanya dari semasa ke semasa melalui e-mel dan SMS,” katanya.

Pada Khamis, Malaysia Airlines membatalkan 19 penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan destinasi di Sabah dan Sarawak berikutan letusan gunung berapi itu, dengan 11 daripadanya adalah ke dan dari Sabah, manakala lapan penerbangan melibatkan Sarawak.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu semalam kemudiannya menawarkan pelanggan yang terjejas dengan perubahan sekali bagi jadual perjalanan mereka secara percuma atau memilih bayaran balik penuh tanpa mengira jenis tambang.

Malaysia Aviation Group (MAG) dalam kenyataan semalam berkata pelanggan terjejas yang berhasrat menukar penerbangan atau membatalkan perjalanan mereka boleh berbuat demikian melalui ‘My Booking’ di laman webnya.

-BERNAMA

 


Pengarang :