SHAH ALAM, 23 APRIL: Kerajaan Negeri optimis menarik syarikat dari Jerman untuk melabur di Selangor selain meneroka peluang meluaskan jaringan syarikat tempatan ke negara itu.
Perkara itu dibincangkan Dato’ Menteri Besar ketika bertemu duta besar Malaysia ke Jerman di Hannover Messe, Jerman, semalam.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dalam pertemuan itu, Datin Paduka Dr Adina Kamarudin turut bersedia memudahcara urusan.
“Datin Paduka turut menyatakan kesediaan pasukan beliau di Jerman termasuk agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk memudahcara urusan bagi kerjasama antara Selangor dan Jerman.
“Saya menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datin Paduka Dr Adina Kamarudin dan seluruh warga Wisma Putra di Jerman,” kongsinya di Facebook.
Semalam, Kerajaan Selangor menjadi wakil tunggal Malaysia menghadiri majlis perasmian Hannover Messe, persidangan dan pameran teknologi kejuruteraan mekanikal dan elektrik terkemuka dunia di Jerman.
Majlis perasmian yang berlangsung di Pusat Kongres Hannover dihadiri oleh Canselor Jerman Olaf Scholz, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula Gertrud von der Leyen dan Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Støre.
Mengetuai delegasi negeri, Amirudin turut mengambil bahagian dalam forum bersama tiga lagi delegasi Asia Tenggara bagi membincangkan kerjasama kerajaan dan industri untuk memajukan matlamat kemampanan di Asean.
Beliau membentangkan perancangan serta cabaran Kerajaan Selangor dalam menjadi negeri peneraju sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional serta kemampanan pembangunan di Asia Tenggara.