Keadaan rumah yang dinaiki air susulan banjir kilat ketika tinjauan di sekitar Kampung Melayu Subang pada 17 April 2024. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI agih bantuan ke pusat pemindahan sementara SK Sungai Binjai

SHAH ALAM, 19 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengagihkan bantuan awal kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru semalam.

Ketua tanggungjawab sosial dan komunikasi korporatnya berkata sebanyak 500 pek makanan dan 20 karton air mineral juga dihantar ke pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru untuk diagihkan.

“Baru-baru ini kita telah luluskan peruntukan RM10,000 bagi bantuan keperluan asas di SK Merbau Sempak dan Dewan MPKS Desa Coalfields, Sungai Buloh.

“Kini MBI telah berikan bantuan tambahan kepada mangsa banjir di SK Sungai Binjai, Meru semalam,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika dihubungi Selangorkini.

Antara bantuan diserahkan termasuk air mineral, makanan kering, makanan guna teknologi retort, toto, selimut, tuala wanita dan lampin pakai buang.

Selain itu, Ahmad Azri memaklumkan MBI akan mempertimbangkan sumbangan ehsan berupa wang tunai kepada mangsa banjir selain bantuan keperluan asas.

Sebelum ini, MBI menghantar bantuan banjir antaranya air mineral, makanan kering, makanan guna teknologi retort, toto, selimut, tuala wanita dan lampin pakai buang ke dua PPS.

Bantuan diagihkan di dua PPS membabitkan 364 mangsa yang ditempatkan di SK Merbau Sempak manakala di Dewan MPKS Desa Coalfields pula 38 mangsa.


Pengarang :