Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tingkat kawalan di terminal 1, 2 KLIA

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kawalan dan jumlah penugasan pegawai serta anggota di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 sejak Selasa lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kawalan keselamatan dan pemantauan pada masa ini membabitkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam (JKDNKA).

Beliau berkata bagi penugasan di Terminal 1 seramai 23 pegawai dan anggota akan bertugas, manakala di Terminal 2 sejumlah 14 pegawai dan anggota ditempatkan dengan penggiliran sebanyak tiga syif sehari.

Penugasan dilakukan secara ‘prowler’ atau rondaan akan dilaksanakan di lapan pintu masuk dan keluar di Balai Pelepasan serta Balai Ketibaan di Terminal 1 dan 2.

“Peningkatan kawalan keselamatan dan rondaan pemantauan ini ialah satu bentuk komitmen PDRM dalam menghadapi sebarang kemungkinan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di pintu masuk utama ke Malaysia terjamin.

“Dua anggota IPD KLIA akan bertugas di setiap aras membabitkan aras ketibaan di tingkat 3 dan aras pelepasan di tingkat 5 Terminal 1 dan konsep penugasan bersesuaian dengan anggota beruniform lengkap bersenjata SMG HK MP5.

“Anggota IPD KLIA akan berpasangan dengan anggota PGA yang memakai seragam penuh operasi lengkap berserta beret, body armor dan senjata utama serta senjata kedua,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata langkah ini adalah sebahagian daripada penambahbaikan PDRM bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan PDRM.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi pada Ahad lepas, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena pengawal peribadi kepada isterinya dalam kejadian di Balai Ketibaan Terminal 1, Ahad lepas.

– BERNAMA

 


Pengarang :