Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat replika rumah contoh NCT Smart Industrial Park selepas merasmikan NCT Smart Industrial Park Sales Gallery di Jalan Langat Lestari, Sepang pada 2 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri tumpu aeroangkasa, semikonduktor, perkenal kemudahan kewangan tarik pelabur

KUALA LANGAT, 3 APRIL: Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada tiga sektor sepanjang tahun ini termasuk pembangunan Taman Aero Antarabangsa Selangor di Sepang bagi memacu pertumbuhan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbirannya juga bakal memperkenal kemudahan kewangan sebagai strategi menarik pelabur selain meneroka industri semikonduktur.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Perasmian NCT Smart Industrial Park Sales Gallery di Jalan Langat Lestari, Sepang pada 2 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sasaran tahun ini untuk taman aeroangkasa kerana kita kesan elemen ini beri jaminan yang baik. Selain itu, bersesuaian dengan kajian separuh penggal nanti, kita akan umumkan kemudahan kewangan.

“Kita akan bincang dengan beberapa institusi perbankan termasuk menawarkan pelaburan dalam projek Rancangan Selangor Pertama. Kita gunakan rizab untuk selaras pergerakan.

“Kita turut teroka industri semikonduktor, bidang ini ada kekuatan untuk pertingkatkan ekosistem malah gelombang perang dagang antara China dan Amerika Syarikat akan bawa kemasukan pelabur ke sini dan Selangor tak akan terlepas,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pelan pembangunan NCT Smart Industrial Park selepas merasmikan NCT Smart Industrial Park Sales Gallery di Jalan Langat Lestari, Sepang pada 2 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ditemui pada pelancaran Taman Industri Pintar NCT (NSIP) di sini semalam, Amirudin menjangkakan industri semikonduktor tahun ini akan menarik nilai pelaburan sehingga RM3 bilion selain membuka banyak peluang kerja.

“Kita sudah kenal pasti beberapa kawasan berpotensi. Antara cadangannya di Puchong, Subang dan Shah Alam. Kita jangka jalin kerjasama dengan beberapa negara antaranya China,” katanya.


Pengarang :