Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao pada majlis pengumuman calon PRK Kuala Kubu Baharu di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu pada 24 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pang Sock Tao calon Kerajaan Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu

HULU SELANGOR, 24 APRIL: Setiausaha akhbar menteri perumahan dan kerajaan tempatan diumum sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Pang Sock Tao, 31, diumum Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam majlis yang turut dihadiri pimpinan Kerajaan Perpaduan termasuk Pengerusi HARAPAN Negeri Dato’ Seri Amirudin Shari di Taman Gamelan di sini.


Pang Sock Tao, 31, Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan diumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 24 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Bekas mahasiswa Universiti Tenaga Nasional itu pernah memegang jawatan pegawai tugas-tugas khas menteri tenaga teknologi sains, perubahan iklim dan alam sekitar serta penerbit Ubah TV.

PRK tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, akibat barah pada 21 Mac.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 27 April sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 7 Mei dan hari pembuangan undi (11 Mei).

Dalam pilihan raya negeri pada Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional Teoh Kien Hong dalam saingan empat penjuru dengan majoriti 4,119 undi.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) dan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao memotong riben sebagai gimik pelancaran bilik gerakan pada majlis pengumuman calon Pakatan Harapan di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Baharu pada 24 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Beliau pertama kali mewakili kawasan tersebut apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dan tiga calon Bebas pada 2013 dengan majoriti 1,702 undi.

Terdapat 40,226 pengundi dalam DUN Kuala Kubu Baharu. Peratusan mengikut kaum berdasarkan data setakat Ogos 2023, Melayu seramai 46 peratus, Cina (31 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (dua peratus).


Pengarang :