Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mengacau dodol di Rumah Pengasih Warga Prihatin pada Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat 2024 di Kajang pada 24 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cucuk sate, kacau dodol antara aktiviti Raja Muda di jelajah Rumpun Selangor

KAJANG, 24 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor mencucuk sate ketika lawatan ke kilang pemprosesan Sate Haji Samuri sempena  jelajah Rumpun Selangor Hulu Langat hari ini.

Tengku Amir Shah diiringi EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail turut berpeluang melihat proses menghasilkan sate oleh lebih 50 pekerja kilang berkenaan.

Terdahulu, ketika melawat Rumah Pengasih Warga Prihatin, Baginda turut mengambil pengalaman mengacau dodol yang dimasak warga pusat kebajikan berkenaan.

Pada hari pertama ini, Tengku Amir Shah berkenan menyantuni pengunjung sekitar Kajang Dulu-Dulu serta pelanggan di Medan Sate Kajang di sini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyantuni pengunjung sekitar Kajang Dulu-Dulu pada Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat 2024 di Kajang pada 24 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sehingga Jumaat, Tengku Amir Shah akan berangkat melawat beberapa kawasan antaranya Masjid Al-Ubudiah, Kampung Tasek Tambahan, Ampang dan Laman Medan Selera Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Selain itu, Baginda juga akan melawat Pasar Malam Downtown Jalan Reko serta warung Roti Canai Teras Jernang, Bangi Square 2.

Pelbagai program menarik di setiap lokasi seperti klinik bola sepak serta walkabout bersama pemain Selangor FC, persembahan silat, tarian, kebudayaan, muzik jalanan, rewang dan santapan kenduri.

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyantuni rakyat pada Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat 2024 di Kampung Teras Jernang, Kajang pada 24 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperuntukan RM4.5 juta bagi menjayakan Gagasan Rumpun Selangor di sembilan daerah.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bertemu rakyat pada Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor Peringkat Daerah Hulu Langat 2024 di Kampung Teras Jernang, Kajang pada 24 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :