SHAH ALAM, 23 APRIL: Kutipan sampah domestik di seluruh Selangor mencatat penurunan sepanjang minggu pertama Aidilfitri.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata penurunan kutipan itu berikutan faktor masyarakat pulang ke kampung.
“Berdasarkan data, pada dua hari sebelum Aidilfitri kutipan mencatat sekitar 5,000 hingga 6,000 tan sehari. Namun, pada awal Aidilfitri kutipan hanya sekitar 4,000 tan sehari berbanding hampir 7,000 tan tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri KDEBWM di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini yang dihadiri lebih 2,000 tetamu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan dua lagi pusat kitar semula pandu lalu automatik (ATDReC) akan dibuka pada tahun ini.
“Pusat kitar semula ini dibina untuk memudahkan orang awam membuang sampah kitar semula di tempat yang lebih selesa. Urusan pembayaran barangan kitar semula dilakukan dalam tempoh 48 jam.
“Setakat ini, pusat ini beroperasi di Sepang sahaja dan kita jangka akanbuka di dua lagi pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Mac lalu, ATDReC pertama dibuka di Cyberjaya bagi kemudahan orang ramai selain meningkatkan kesedaran amalan kitar semula
Berkonsepkan ‘dibuat individu dengan yakin’ (DIY), inisiatif itu membantu masyarakat menjana duit melalui ‘sampah’.