Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama tetamu yang hadir pada Jamuan Aidifitri Kampung Ampang Pecah di Balai raya Taman Ampang Pecah Kuala Kubu Bharu pada 14 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor tekad teruskan pentadbiran bersih, prihatin rakyat – MB

HULU SELANGOR, 15 APRIL: Kerajaan Negeri tekad meneruskan kesinambungan pentadbiran bersih dan prihatin bagi menjamin kesejahteraan segenap lapisan rakyat negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tekad itu dipegang oleh semua pimpinan di bawah pentadbirannya bagi memastikan tiada yang tercicir dalam pembangunan pesat Selangor.

“Alhamdulillah negeri kita sedang merangka dan melaksana pelbagai program pembangunan dan kita mahu teruskan pembangunan ini bersama-sama.

“Jangan termakan permainan-permainan yang akan digunakan oleh sesetengah pihak. Kita kena hati-hati sebab tak lama lagi kempen pilihan raya dan masa kempen kalau dengar ceramah atau pelbagai pandangan kadang-kadang boleh ternaik semangat kita.

“Sampai kita hilang waras dan pertimbangan, lalu menimbulkan kemarahan yang tidak wajar dan boleh menghentikan (merencatkan) pembangunan (negeri),” katanya berucap pada jamuan Aidilfitri di Kampung Ampang Pechah, Kuala Kubu Baharu di sini, semalam.

Amirudin berkata hasrat dan tekad pimpinan Kerajaan Negeri sentiasa konsisten untuk meneruskan agenda pembangunan yang telah dilaksanakan dan dirancang.

“Salah satunya adalah di KKB (sebab itu) kita mahu KKB kekal setia dengan Perpaduan ini untuk kestabilan dan kemakmuran negeri dan negara,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 27 April dan 7 Mei.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac.

Kee Hiong, 58, yang menjadi ADN Kuala Kubu Bharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.


Pengarang :