Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menandatangani plak perasmian masjid pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya bagi 2024 serta perasmian Masjid Damansara Perdana pada 5 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan rasmi Masjid Damansara Perdana, serah sumbangan kepada 172 anak yatim

PETALING JAYA, 6 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Masjid Damansara Perdana di sini semalam.

Keberangkatan tiba Baginda bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin diiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Baginda berkenan menamakan masjid itu yang dibina di kawasan seluas dua ekar melibatkan kos RM15 juta serta mampu menampung sehingga 3,200 jemaah yang dibiayai sepenuhnya MK Land Holdings Berhad.

Pada majlis itu, Sultan Selangor turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 172 anak yatim sekitar daerah itu.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya bagi 2024 serta perasmian Masjid Damansara Perdana pada 5 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad Tan Sri Felina Tan Sri Mustapha Kamal ketika dalam sembah ucapan memaklumkan pihaknya membelanjakan RM40 juta bagi menaik taraf dan membangunkan masjid serta surau di seluruh negeri.

“Ini membuktikan komitmen dan iltizam arwah ayahanda patik (Tan Sri Mustapha Kamal) dalam usaha beliau untuk menjadikan masjid bukan sahaja berperanan sebagai rumah ibadat bagi umat Islam, tetapi institusi pembangunan ummah dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, sosial, kebudayaan dan ekonomi,” katanya.

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri dan Raja Muda turut berkenan berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta solat sunat tarawih berjemaah di masjid berkenaan bersama rakyat.


Pengarang :