Penggambaran telefilem “Ayah Panggil Balik’ di Surau Darul Nur, Kuala Langat pada 30 Januari 2024. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Telefilem Ayah Panggil Balik boleh ditonton di YouTube SelangorTV

SHAH ALAM, 23 APRIL: Orang ramai masih berpeluang menonton drama Ayah Panggil Balik terbitan Kerajaan Negeri di YouTube SelangorTV, sebelum ini disiarkan di TV2.

Dibintangi pelakon terkenal tanah air antaranya Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud dan Syafie Naswip. Tayangan hampir dua jam itu sarat mesej hidup berkeluarga.

Bukan hiburan semata, EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah menegaskan langkah populis itu semata-mata mahu menyedarkan rakyat wujudnya banyak program kebajikan disedia Selangor.

“Dalam drama ini, inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri diskripkan, sekali gus memudahkan penonton faham apa yang ditawar Selangor.

“Sejak Julai 2022, Kerajaan Negeri menyusun 47 program bawah Inisiatif Selangor Penyayang (ISP). Selain untuk semua warga Selangor, ISP menumpukan usaha meringankan beban kumpulan pendapatan rendah negeri ini,” katanya.

Selain barisan pelakon mantap, lokasi penggambaran telefilem ini juga main peranan penting. Latar kampung tradisional membuatkan mata tidak terlepas menikmati keindahan Kampung Endah di Banting, Kuala Langat.

Pernah dinobatkan kampung terbaik Selangor, di situ terletak antara inap desa tercantik di negeri ini. Justeru, anda boleh menonton drama berkenaan menerusi https://www.youtube.com/watch?v=_CByWKU8R8s


Pengarang :