Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Malaysia kecam serangan Israel di Rafah, 22 maut termasuk kanak-kanak

PUTRAJAYA, 23 APRIL: Malaysia mengecam serangan Israel terkini di bandar Rafah, selatan Gaza pada 21 April mengorbankan sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin yang tidak bersalah termasuk 18 kanak-kanak.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini menekankan situasi di Rafah sangat membimbangkan mengambil kira risiko bencana kemanusiaan yang tinggi.

Sebarang serangan di Rafah mengakibatkan implikasi dahsyat kepada lebih 1.5 juta rakyat Palestin yang berada di tempat perlindungan sementara yang sesak di dalam kawasan hanya seluas 64 kilometer persegi.

Bulan lalu, Israel diberi amaran oleh negara sekutunya untuk mengelakkan dari menyerang Rafah kerana ia adalah satu kesilapan. Serangan itu ternyata membuktikan kedegilan Israel.

“Pencerobohan Israel akan menyebabkan kehilangan nyawa yang semakin meningkat. Rafah adalah benteng dan tempat perlindungan terakhir bagi rakyat Palestin yang melarikan diri dari utara Gaza sejak 198 hari lalu.

“Mereka kini tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung. Kekejaman Israel semakin melampau kerana ia sama sekali tidak menghiraukan garis merah yang ditetapkan sekutunya,” menurut kenyataan itu.

Masyarakat antarabangsa perlu terus mengecam pencerobohan Israel, mendesak pemberhentian permusuhan dengan segera, mengiktiraf dan menegakkan kenegaraan Palestin dan secara aktif mendapatkan keadilan yang dinafikan lebih tujuh dekad, menurut kenyataan itu lagi.

– BERNAMA


Pengarang :