DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bermain bersama kucing peliharaannya. Baginda yang juga penaung diraja bagi kempen Stray Free Selangor mencadangkan kaedah pemandulan bagi mengawal haiwan terbiar. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tengku Permaisuri saran kaedah pemandulan kawal haiwan liar

SHAH ALAM, 1 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin mencadangkan kaedah pemandulan bagi membendung haiwan liar terutama anjing.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Baginda turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) memperinci semula pendekatan baharu yang lebih holisitik dalam menguruskan haiwan itu.

Baginda juga mencadangkan supaya usaha memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan terbiar dipergiat menerusi kempen mewujudkan komuniti penyayang dan belas kasihan (CCC).

“Kempen ini menggariskan beberapa inisiatif utama dengan kerjasama antara PBT dan Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) dalam mengendalikan sesi pemilik bertanggungjawab.

“Ini termasuk mendapatkan nasihat dan pemantauan SPCA dan badan bukan kerajaan jika wujud keperluan melupuskan haiwan terbiar disebabkan kesihatan atau sebagainya,” menurut kenyataan itu.

Tengku Permaisuri yang juga penaung diraja kempen Stray Free Selangor turut menyaran PBT mewujudkan rumah perlindungan haiwan terbiar di kawasan taman perumahan dengan kerjasama penduduk.

Baginda bertitah PBT juga wajar mewajibkan pemaju perumahan untuk membina atau menyediakan pusat perlindungan seumpamanya bagi mengawal populasi haiwan berkenaan.

Dalam pada itu, Baginda memaklumkan SPCA Selangor bersama agensi berkaitan mengadakan program “Potong-Royong” bagi pemandulan kucing dan anjing, yang mencecah 1,626 ekor setakat Mac 2023.

“Saya juga berpendapat tiba masa pihak berwajib meneliti semula pekeliling Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan mengenai tatacara operasi piawai (SOP) penangkapan dan pelupusan anjing terbiar.

“Saya benar-benar berharap usaha menjaga kebajikan haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja,” jelas kenyataan itu lagi.


Pengarang :