Foto Facebook MPHuluSelangor
ADNSELANGOR

Tutup jalan, MPHS sedia van ulang-alik mudahkan rutin penduduk

SHAH ALAM, 23 APRIL: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyediakan tiga van ulang-alik bagi kemudahan penduduk susulan penutupan jalan untuk persiapan rumah terbuka negeri pada Sabtu.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, kenderaan tersebut disediakan mulai esok di parkir hadapan pejabat pendidikan daerah, Jalan Dato’ Tabal serta hadapan pejabat pos pekan berkenaan.

Jelasnya, kemudahan dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang sehingga Isnin depan termasuk proses membuka semula khemah dengan penutupan jalan dibuat secara berperingkat.

“MPHS sebaik mungkin mencari inisiatif bagi meminimumkan kesulitan dan membolehkan semua pihak menjalankan urusan harian seperti biasa,” katanya menerusi kenyataan.

MPHS menambah penutupan hanya melibatkan sebahagian jalan, namun masih boleh diakses melalui laluan lain seperti Jalan Abdul Hamid, Jalan Dato’ Tabal, Jalan Rasathurai dan Jalan Dato’ Balai.

Sambutan Aidilfitri Sabtu ini menyediakan pelbagai acara menarik selain juadah hari raya, persembahan artis terkenal Ella dan Naim Daniel, pemberian duit raya dan pertunjukan bunga api.


Pengarang :