Keadaan aliran trafik bergerak perlahan di Plaza Tol Gombak dari kedua-dua arah selepas orang ramai mula pulang dari bercuti di kampung halaman ketika tinjauan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 24 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Warga emas marah jurutol, mahu bayar tunai lepasi plaza tol

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Berang tidak dapat melepasi palang tol kerana tidak mempunyai baki mencukupi pada kad Touch ‘n Go (TnG) dipercayai punca warga emas menghamburkan kata-kata kurang sopan dan mengugut jurutol seperti tular dalam video menerusi platform X baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kejadian dipercayai berlaku selepas kereta dipandu suspek mahu melepasi Plaza Tol Segambut di Lebuhraya Duta – Ulu Klang (DUKE) pada 11.15 malam Ahad lalu.

“Suspek difahamkan marah selepas diberitahu pembayaran hanya boleh dibuat menggunakan kad TnG atau kad debit, selain turut berkeras mahu menggunakan wang tunai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini hari ini.

Rusdi berkata mangsa yang berusia 20 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan polis juga sudah mengenal pasti lelaki tempatan berusia 60 tahun dipercayai pemilik kenderaan terlibat.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100, jika sabit kesalahan.

Beberapa hari lalu, tular di platform X rakaman video dan gambar kereta yang dimuat naik seorang lelaki dipercayai ahli keluarga jurutol terlibat, yang tidak berpuas hati dengan kejadian terbabit.

Jurutol itu difahamkan akhirnya menerima wang tunai daripada pemandu kereta terlibat, memandangkan kereta itu lama berhenti di lorong tol.

Hantaran menerusi platform X itu turut mendapat reaksi polis dalam ruangan komen, yang meminta mangsa membuat laporan di balai berhampiran supaya tindakan dapat diambil.

– BERNAMA


Pengarang :