Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut serta berzikir bersama bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah ketika Majlis Zikir Darul Ehsan sempena Festival Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Akademi turath bakal ditubuh, pastikan pengajian kitab Islam berterusan

SHAH ALAM, 22 MEI: Kerajaan Selangor berhasrat memperkenal Akademi Pengajian Turath bagi memastikan pendidikan dalam kitab warisan Islam dilaksana secara berterusan.

Bakal mengetengahkan silibus secara bersusun,  Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini akan dipilih sebagai lokasi pengajian, menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kita tidak mahu program turath ini menjadi program sekali lalu (touch and go) atau hanya dibuat tahunan, justeru Kerajaan Selangor berhasrat menjadikan pendidikan turath secara berterusan.

“Sejak beberapa bulan lalu kita mulakan program dipimpin Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni, tokoh ulama Pattani. Selepas ini kita akan perkenal Akademi Pengajian Turath bersama silibus tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai tetamu pada segmen Inspirasi Pagi bersama radio IKIMfm yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook, pagi tadi.

Amirudin menambah pengenalan akademi itu juga bakal mencapai impian negeri untuk menjadikan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai gedung ilmu setanding Masjid Al-Azhar di Mesir.

Beliau menjelaskan Masjid Al-Azhar memiliki tiang dan sudut tertentu untuk pengajian kitab terdiri dalam kalangan guru pondok sebagai pengajian tambahan kepada pelajar di sana.

“Sekitar 50 dan 60-an, saya difahamkan ada sudut dipanggil Ruak Jawi di situ dan terdapat kelompok guru mengajar dalam bahasa Melayu kerana ada ulama dari Malaysia turut mengajar,” katanya.

Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirai pada 26 Mei hingga 2 Jun bakal mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam melibatkan ulama tradisional dan ahli akademik.

Berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, festival itu turut menampilkan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah yang akan mengupas Kitab Hadis 40.


Pengarang :