BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Antara daya saing beli bacaan dan kesempatan angkat kearifan tempatan

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kembali lagi. PBAKL 2024 ini adalah kali ke-41 sejak ia diperkenalkan pada awal 1980-an dulu. Sesetengah pihak menganggap ia adalah hari raya bagi penggiat buku, bukan hanya pembaca semata-mata.

Lama dulu ada kajian yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia hanya membaca sekitar dua ke tiga muka surat buku setahun. Kini, meskipun kadangkala terdengar di hujung telinga bahawa jumlah bacaan rakyat Malaysia masih sekitar angka yang sama, ia tentulah sukar dipercayai memandangkan bahan bacaan sudah mengambil bentuk yang pelbagai. Justeru itu ia sukar diukur dengan tepat.

Sumber bacaan melalui media baharu ini adalah anugerah. Meskipun pada mulanya ia memberi kelebihan kepada golongan yang mampu memiliki capaian internet atau melanggan perkhidmatan ini di kafe siber, ia kini sudah jauh lebih murah dan mudah dimiliki oleh sesiapa sahaja. Maklumat boleh dikatakan hanya berada di hujung jari sahaja.

Perkembangan baik ini ditambah pula dengan banyak karya lama yang bermutu disediakan percuma oleh sesetengah pihak misalnya antara terawal ialah Projek Guternberg.

Namun, ia juga menyediakan cabaran tersendiri kepada penggiat buku terutama mereka yang menjadi pembekal buku fizikal. Ini kerana bukan sahaja budaya membaca semakin berubah, tetapi kesan kos daripada peralihan budaya ini juga memberi cabaran kewangan bagi memastikan kelestarian perniagaan.

Namun, angka daripada PBAKL yang diadakan dari tahun ke tahun memberi petunjuk berbeza. Ini misalnya daripada jumlah reruai yang diambil, jumlah jualan yang boleh menampung kos operasi perniagaan dari tiga bulan ke satu tahun dan sebagainya.

Ia menunjukkan dengan jelas bahawa industri buku di Malaysia masih berdaya saing dan rakyat Malaysia juga sanggup berbelanja membeli buku dan tentunya paling tidak membaca sebahagian bahan yang dibeli.

Orang ramai mengambil kesempatan memilih buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlansung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023.. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tokoh buku

Pada masa yang sama kita tidak boleh melepas pandang bahawa ia juga mungkin kelebihan golongan mampu. Justeru itu PBAKL mungkin hanya boleh menjadi perayaan di Kuala Lumpur, tetapi belum tentu dapat dianjurkan dengan jayanya jika diadakan di negeri lain. Jaya dalam erti kata mendapat sambutan hebat dan memberi pulangan baik kepada peniaga.

Dalam Dialog Buku pada tahun lalu saya menganjurkan penggiat buku agar merenung peluang yang mungkin hadir dalam industri ini bagi memenuhi hasrat negara yang diulang saban tahun sejak merdeka.

Pertama, bagaimana buku boleh membantu menjayakan agenda perpaduan? Apakah kita cukup bahan bacaan bagi menggalakkan persefahaman di kalangan penduduk berbilang kaum dan agama di negara ini? Apakah ia cukup tersedia di pasaran?

Kedua, kerana golongan berpendapatan rendah tidak dapat memperuntukkan perbelanjaan untuk membeli buku, apakah usaha kita bagi memastikan kitaran kemiskinan tidak terus berlaku dan budaya membaca dapat membantu generasi mereka yang seterusnya keluar daripadanya dengan budaya baru.

Ketiga, apakah kita mampu mengangkat kearifan tempatan melalui karya-karya yang dihasilkan?

Sementara kita mempunyai Perdana Menteri yang pernah diberikan anugerah Tokoh Buku, dan terkenal sumbangannya dalam arena keilmuan dalam negara, ini adalah kesempatan terbaik untuk kita terus membicarakan pentingnya soal ilmu, buku dan agenda madani.

Jika Saidina Ali r.a. yang disebut sebagai pintu gedung ilmu pernah berkata ‘jika mahu melihat masa depan, lihatlah kepada generasi muda pada hari ini’, maka mungkin kita boleh memfrasakan semula kenyataan ini kepada ‘jika mahu melihat masa depan, lihatlah apa yang generasi muda kita baca pada hari ini’.

Tanggungjawab kita untuk membudayakan kecintaan kepada ilmu. Buku adalah antara jalan ilmu yang penting untuk kita suburkan.

*** Penulis adalah pengerusi Institut Terjemahan Buku Negara dan bekas ahli parlimen


Pengarang :