Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan semasa sidang media selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Perayaan Aidilfitri Peringkat Kontinjen Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Shah Alam pada 20 April 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Bagasi berisi syabu bernilai RM1.2 juta dirampas, dua lelaki ditahan

SEPANG, 31 MEI: Dua lelaki tempatan ditahan serta 38.8 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai lebih RM1.2 juta dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di sini semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam operasi 4 pagi itu, polis menahan lelaki berusia 34 tahun yang membawa dua bagasi berisi 37 bungkusan plastik disyaki syabu sebelum seorang lagi suspek berumur 36 tahun yang disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah ditahan di sebuah hotel berdekatan.

“Kedua-dua suspek ini bertindak sebagai pengangkut kepada sindiket pengedaran dadah. Kesemua dadah yang dibawa ini dipercayai untuk dipasar di sekitar Sarawak dan bekalan dadah disyaki diperoleh dari negara jiran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket pengedaran dadah mengupah kedua-dua suspek bagi membawa bekalan dadah ke Sarawak antaranya Bintulu, Sibu dan Miri.

Katanya dua lelaki berkenaan dipercayai menerima upah RM2,500 bagi setiap perjalanan dan semakan mendapati mereka melakukan tujuh perjalanan ke Sarawak dari Mac hingga Mei.

“Mereka diberikan tiket kapal terbang dan juga penginapan di sekitar KLIA, jadi kerja mereka datang dalam dua atau tiga hari dan mereka diberikan beg berisi dadah untuk dibawa ke Sarawak. Di Sarawak, ahli sindiket tunggu di tempat penyerahan,” katanya.

Hussein berkata hasil analisa dadah dirampas mendapati ia boleh dibekalkan kepada 77,700 pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram.

Beliau berkata kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah selain positif dadah methamphetamine dan polis turut menyita wang tunai RM600.

Menurutnya suspek direman tujuh hari hingga Khamis depan bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :