Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Gelanggang Bola Keranjang Klang Utama, Klang pada 13 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bandar Baru Klang, Sungai Kandis antara empat lokasi murah esok

SHAH ALAM, 15 MEI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan asas murah berlangsung di empat lokasi mulai 10 pagi hingga 1 tengah hari esok.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan murah diadakan di Masjid Al-Muhajirin, TUDM Subang (Seri Setia) dan kawasan parkir Taman Rakyat, Taman Sri Andalas (Sungai Kandis).

Jualan sama turut dijadual berlangsung di pasar tani Kg Melayu Subang (Kota Damansara) dan Surau Al-Falah, Jalan Cendana 5, Taman Sri Pekan (Bandar Baru Klang).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri pada tahun lepas.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :