Skuadron Perisai 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan di sepanjang Sungai Golok pada 7 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Barangan bernilai RM588,319 dirampas di sempadan Malaysia-Thailand tahun ini

KOTA BHARU, 12 MEI: Tentera Darat Malaysia (TDM) merampas pelbagai jenis barangan yang dibawa masuk secara haram menerusi sempadan Malaysia-Thailand bernilai lebih RM588,319 bagi tempoh Januari sehingga semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan rampasan berkenaan membabitkan 48 kes Rampasan Barang Tanpa Tuan (RBTT) bernilai lebih 100,502 dan empat kes Rampasan Barang Bersama Tuan (RBBT) berjumlah RM487,817.

“Pihak kami turut menahan 10 pendatang asing tanpa izin (pati) warga Myanmar yang masuk ke negara ini sepanjang tempoh berkenaan.

“TDM akan sentiasa meningkatkan rondaan serta pengawasan di kawasan ‘hotspot’ yang dipercayai dijadikan laluan tikus oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan bahan kawalan dan terlarang termasuk cubaan menyeludup pati,” menurut kenyataan itu hari ini.

TDM juga akan meningkatkan langkah keselamatan khususnya di Sungai Golok susulan beberapa insiden melibatkan serangan dan letupan bom terhadap instalasi pasukan keselamatan Thailand di daerah selatan Thailand.

“Insiden berkenaan secara tidak langsung memberi kesan terhadap keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di sektor kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia iaitu sebahagian sempadan negeri Kelantan dengan Thailand.

“Selain rondaan pasukan operasi, TDM turut melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan tahap keselamatan dengan melaksanakan rondaaan bersama Royal Thailand Army (RTA) di sepanjang sempadan negara masing-masing melalui Combined Force Border Patrol (CFBP),” menurut kenyataan itu.

TDM turut melaksanakan Mesyuarat Land Working Group (LWG) bersama RTA bagi membincangkan pelbagai perkara melibatkan operasi, latihan bersama dan isu semasa dalam pengawalan sempadan khususnya dalam mengekalkan keamanan serta keselamatan di sempadan kedua-dua negara.

“TDM juga sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguat kuasa persempadanan yang lain,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :