Ulama Indonesia Prof. Dr Kiai Haji Said Aqil Siradj menyampaikan syarahan perdana bertajuk Kepentingan Kitab Turath Dalam Sejarah Nusantara dan Masakini sempena Festival Turath Islami Selangor (FITS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 29 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Festival turath dapat sambutan, ulama Indonesia minta ilmu turath diperluas

SHAH ALAM, 29 MEI: Hampir 500 umat Islam pelbagai peringkat usia menyertai kuliah Maghrib dan syarahan perdana sempena Festival Turath Islami Selangor (FITS) malam ini.

Program bermula selepas solat Maghrib dengan kuliah bertajuk Pengenalan kepada Riyadhu Al-Salihin Al-Nawawi disampaikan ulama tersohor Pattani, Baba Ghazali Ahmad Al-Fathoni.

Majlis berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah disambung dengan syarahan perdana bertajuk Kepentingan Kitab Turath Dalam Sejarah Nusantara dan Masakini, disampaikan ulama Indonesia, Prof. Dr Kiai Haji Said Aqil Siradj.

Dalam syarahan berkenaan, Kiai Haji Said berkata ilmu turath harus didalami dan diperluas memandangkan umat Islam perlu kembali kepada kitab usul selain ajaran Imam Syafie, Imam Al-Ash’ari.

“Jangan hanya baca terjemahan kerana ia tak berkualiti. Kita kena kaji (kandungan) dan akan buat Islam kuat. Kalau tidak Islam hanya tinggal nama sahaja,” katanya.

Festival kali kedua ini berlangsung sejak Ahad hingga 2 Jun dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Dimulakan dengan kupasan Kitab Hadis 40 oleh bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah, antara pengisian proram lain ialah Pameran Al-Wahyu, forum bertajuk Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu akan menampilkan ahli panel Ustaz Muhamad Abdullah, Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria dan Ustaz Mohamad Aizuddin Abdul Aziz.

Bertema Mendalami Khazanah Kitab Islam, maklumat program, lokasi serta pendaftaran boleh dibuat menerusi http://www.turathislamselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.

 


Pengarang :