Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria menyampaikan ucapan pada Forum Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu sempena Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Festival turath platform terbaik ketengah manuskrip tokoh Melayu

SHAH ALAM, 27 MEI: Festival Turath Islami Selangor menjadi platform terbaik mengetengahkan manuskrip al-Quran berusia hampir 400 tahun hasil tulisan tangan tokoh Melayu.

Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria berkata acara itu juga mengangkat warisan Islam.

“Saya memilih manuskrip Melayu kerana kita sebagai umat Islam di alam Melayu kurang mengenali atau beri perhatian berhubung ilmu dan warisan kita sendiri.

“Adakalanya bila sebut manuskrip generasi baharu tidak tahu, sedangkan orang Melayu dahulu sudah lama menjadi cendikiawan tetapi kita lebih banggakan orang luar.

“Masyarakat luar antaranya di Perancis, Kanada dan Amerika pun lebih tahu malahan kagum berkaitan manuskrip Melayu berbanding orang Melayu sendiri yang kurang beri perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu di Pameran Al-Wahyu sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri di sini, semalam.

Antara orang ramai yang hadir di Pameran Al-Wahyu pada Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Ros Mahwati yang juga kurator pameran turut menyeru masyarakat Melayu khususnya berkunjung ke pameran yang berlangsung sehingga 2 Jun ini.

“Saya fikir menerusi festival ini ia peluang kepada saya untuk mengangkat manuskrip Melayu kerana jiwa saya sentiasa ingin angkat warisan Islam di mata dunia,” jelasnya.

Manuskrip al-Quran yang dibawa dari Muzium Al-Quran Narrathiwat, Thailand itu merupakan manuskrip tulisan tangan Sheikh Nuruddin Ar-Raniri berdasarkan penerangan pemiliknya Ustaz Lutfi.

Turut dipamer dalam Pameran al-Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu ialah kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.

Naskhah al-Quran bertinta emas yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9, Sultan Ommar Muazzam Riayat Shah sekitar tahun 1800 juga diperaga.


Pengarang :