Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berucap ketika majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 1 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jais larang guna rumah ibadah untuk kempen PRK Kuala Kubu Baharu

SHAH ALAM, 3 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kekal melarang untuk menjadikan masjid, surau dan sekolah bawah seliannya sebagai tempat berpolitik atau propaganda kepartian.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad menegaskan ketetapan itu selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan arahan Majlis Agama Islam Selangor yang masih berkuat kuasa.

“Pegawai masjid, pentadbir surau dan ketua guru bertanggungjawab atas premis kawalannya dengan melaksana amanah dengan jujur dan ikhlas tanpa dipengaruhi sentimen politik kepartian,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak berkaitan supaya bersikap profesional dan mematuhi arahan sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Tegasnya lagi, Jais akan merujuk Seksyen 12 (a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017 jika perkara berkaitan dibuat.

Turut dirujuk Garis Panduan Perlantikan, Penyambungan dan Penamatan Tauliah Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Negeri Selangor dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan Dan Tatatertib) (Pindaan) 2006.


Pengarang :