Hampir 2,000 pengunjung hadir memeriahkan program Hari Klang Tanpa Kenderaan yang diadakan di Laman Seni Safari pada 19 Mei 2024. Foto MBDK
PBTSELANGOR

Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang perkenal 350 tinggalan sejarah

SHAH ALAM, 20 MEI: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan memperkenalkan 350 tinggalan sejarah menerusi Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang, kata timbalan datuk bandar.

Mohd Zary Affendi Mohd Arif berkata menerusi fasa pertama sebanyak 30 keistimewaan Klang akan didedahkan kepada orang ramai.

“Menerusi Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang, kita akan sama-sama menjaga kawasan warisan,” ucapnya pada program Hari Klang Tanpa Kenderaan semalam.

Lima agensi terpilih dalam menjayakan usaha Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang ialah Telekom Malaysia, Universiti Malaya Community, PUSPANITA Daerah Klang, Polis Bantuan Sime Darby Property dan Kelab Kebajikan Kerjasama Klang (KCCC).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MBDK juga akan memperkenalkan Jejak Warisan Sungai Klang dan Jejak Bayu Samu dera dengan menggunakan bot.

“Ini bermula di Pelabuhan Klang dan jeti Taman Pengkalan Batu menyusuri kawasan Kuala Sungai Klang iaitu tapak kubu lama sewaktu Perang Klang.

“Selain mempertontonkan warisan semula jadi hutan bakau, kehidupan masyarakat Orang Asli dan nelayan, ia juga bagi memartabatkan kembali tapak-tapak sejarah lama yang tidak diketahui orang ramai,” katanya.

 


Pengarang :