Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bercakap kepada media selepas kemenangan Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di bilik gerakan utama Perpaduan Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. 2024. Turut sama Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo (tiga, kanan) Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain (tiga, kiri). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kemenangan Sock Tao bukti rakyat yakin, percaya terhadap Kerajaan Perpaduan

HULU SELANGOR, 12 MEI: Kemenangan calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) membuktikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo berkata kejayaan Sock Tao juga memberi isyarat jelas sokongan rakyat terhadap kepimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Keputusan ini menunjukkan rakyat mahukan sebuah kerajaan stabil dengan visi dan misi jelas di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini juga membawa isyarat rakyat ingin melihat Sock Tao meneruskan kerja baik Lee Kee Hiong, saya percaya selama dua minggu berkempen beliau telah mendengar permasalahan penduduk, jadi gerak kerja perlu dimulakan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Umno Hulu Selangor malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omar Din dan Pengarah PRK KKB Ng Sze Han.

Pada majlis sama, Megat Zulkarnain memberi jaminan Barisan Nasional (BN) dan Umno kekal komited mengukuhkan kerjasama dengan HARAPAN bagi mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin perdana menteri dan Dato’ Menteri Besar.

“Terima kasih kepada pengundi KKB atas sokongan yang diberikan. Saya percaya Sock Tao boleh berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) dengan lebih dinamik dan bertanggungjawab.

“Penghargaan juga buat jentera BN dan Umno yang bekerja keras menangkis serangan pemimpin terdahulu sepanjang kempen yang menyumbang kemenangan di tiga daerah kawasan majoriti Melayu,” katanya.


Pengarang :