Rakyat Iran menghadiri perhimpunan anti-Israel di Tehran pada 19 April 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Keputusan Ireland, Norway, Sepanyol iktiraf negara Palestin disambut positif

HAMILTON (Kanada), 23 MEI: Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Riyad Mansour menyambut baik keputusan Ireland, Norway dan Sepanyol mengiktiraf negara Palestin, lapor Agensi Anadolu.

“Ia adalah saat yang indah semasa kami berkumpul hari ini (Rabu) apabila kami menerima berita sangat positif dari Eropah bahawa Sepanyol, Ireland dan Norway mengumumkan hari ini mereka akan mengiktiraf negara Palestin pada 28 Mei ini. Gelombang Eropah ini, diharapkan diikuti gelombang-gelombang lain.

“Negara Palestin layak menjadi negara anggota penuh di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Mansour kepada media.

Menyedari sokongan yang besar untuk pengiktirafan Palestin oleh majoriti anggota Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Keselamatan, Mansour berkata: “Sokongan kepada negara Palestin, kemasukannya ke PBB dan pengiktirafan sedang mendapatkan momentum selepas apa yang kami lakukan di Majlis Keselamatan dan apa yang kami lakukan dalam Perhimpunan Agung.”

Beliau berkata “kuasa pendudukan” sedang panik menghadapi gelombang ini dan Israel menuju ke arah yang salah dengan mencabar semua orang dan bukannya mendengar suara antarabangsa.

Mansour kemudian bergambar bersama wakil tetap PBB dari Norway, Ireland dan Sepanyol.

Pengumuman oleh tiga negara Eropah itu dibuat ketika Israel meneruskan serangan kejamnya di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa gencatan senjata segera.

Palestin telah pun diiktiraf oleh lapan negara Eropah: Bulgaria, Poland, Republik Czech, Romania, Slovakia, Hungary, Sweden dan pentadbiran Greece Cypriot.

Serangan Israel sejak Oktober lalu mengakibatkan lebih 35,700 rakyat Palestin terbunuh kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :