BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Naskhah agung dunia, dari riwayat ulama hingga kisah perisik Malaya

Usaha Kerajaan Negeri menterjemah karya agung dunia sejak 2016 mendapat sambutan hangat penggemar buku, khususnya bertema agama dan sejarah. Sirah Nabi Muhammad SAW dan riwayat hidup sahabat kanan menjadi buruan.

Menerusi Siri Pencerahan Selangor, karya-karya terjemahan juga mencakupi tema sejarah negawaran, politik, biografi tokoh, sastera, sains, falsafah dan budaya.

Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ditugas menggerakkan projek ini menerusi geran Kerajaan Negeri, selain bantuan agensi kerajaan persekutuan. Usaha itu pernah mendapat kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Melalui usaha sama dengan Media Selangor Sdn Bhd, IBDE menerbitkan 20 judul. Ia turut bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi menterjemah 20 jilid Ihya Ulumuddin, karya terpenting Imam al-Ghazali.

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur antara 24 Mei hingga 2 Jun, Selangorkini meringkaskan sebahagian buku terjemahan terbaharu IBDE bersama Media Selangor.

‘Umar al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang
(Abqariyah Umar)
Abbas Mahmud al-’Aqqad

Umar al-Khattab dikenali sebagai Al-Faruq, khalifah, penempur hebat dan seorang yang tegas. Hayatnya diabdikan demi kebenaran agama Islam.

Namun sisi lain Umar yang jarang ditonjolkan adalah kebijaksanaannya sebagai pemimpin, hubungan rumah tangga dan sebagai penikmat kata-kata indah.

Biografi khalifah ar-Rasyidin kedua ini menyingkap sisi lembut dalam kerasnya dan sifat teliti dan tegasnya lewat maklumat-maklumat sejarah yang diadun dengan cukup rapi oleh penulis handalan dari Mesir.

Ramuan Kebahagiaan
(Kimiya-yi Sa’adat)
Imam Abu Hamid al-Ghazali

Pada zaman ini, kebahagiaan menjadi buruan namun sangat sedikit pencari yang berjaya menemuinya.

Dalam kehidupan moden yang dikepung hiruk-pikuk dan kebendaan, al-Ghazali menawarkan sebuah kitab tasawuf yang membawa kita kepada sebuah perjalanan menuju kebahagiaan sejati.

Melalui hikmah dan renungan yang mendalam, kitab tasawuf ini cocok sebagai panduan mengubah hidup bagi pencari kebahagiaan dan pencerahan kerohanian.

 

Detik-Detik Akhir Empayar Utsmaniah
(A Brief History of The Late Ottoman Empire)
M Sükrü Hanioglu

Pada November 1922, banyak pihak tergamam apabila khilafah tertua Islam secara rasminya runtuh.

Apakah punca-puncanya? Bagaimana ia rebah? Melalui kajian yang amat teliti, pensyarah Jabatan Pengajian Timur Universiti Princeton, Amerika Syarikat memperincikan gambaran Empayar Utsmaniah pada zaman geloranya dari 1789 hingga 1918.

Anak kelahiran Turkiye itu membawa pembaca mengenali kekuatan, kelemahan dan ketahanan sebuah empayar yang berada di ambang kejatuhan sebelum menemui makna tersembunyi daripada puing-puing runtuhan sejarahnya.

Mata-mata Gelap Malaya: Peranan Cawangan Khas pada Zaman Darurat 1945-60
(Malaya’s Secret Police 1945-60: The Role of the Special Branch in the Malayan Emergency)
Leon Comber

Sebuah karya yang meneroka sebuah dunia gelap dipenuhi gerakan rahsia dan ranjau muslihat yang amat mendebarkan.

Dalam buku sejarah ini, Comber, seorang bekas pegawai tentera British mendedahkan kisah pahlawan-pahlawan sebalik tabir iaitu barisan anggota Cawangan Khas yang bergiat di tengah-tengah masyarakat awam tanpa diketahui umum.

Di sebalik keamanan yang dikecapi selepas tempoh panjang darurat, mereka berkorban nyawa melindungi rakyat dan tanah air melalui pelbagai operasi khas.

Pengarang mengajak kita mengenang tempoh getir darurat dan perjuangan barisan perajurit Cawangan Khas yang pada akhirnya menolong mencipta suasana kemakmuran dan keamanan di negara Malaysia yang merdeka.

Manusia Asuhan Rusa
(Falsafah Ibnu Tufail wa Risalatuh Hayy bin Yaqzan)
Abu Bakr Muhammad Ibnu Tufail

Jauh lebih awal sebelum Tarzan, Mowgli dan Robinson Crusoe, di dalam kesunyian pulau al-Waqwaq yang terpencil, Hayy bin Yaqzan diasuh oleh seekor rusa betina sedari kecil.

Pengembaraan luar biasa yang bermula sejak kelahirannya mendorong Hayy untuk bergelut dengan persoalan makna kehidupan yang paling mendalam.

Sepanjang pengembaraan ini, kita menelusuri gejolak pemikiran seorang manusia yang sedang mencari kebenaran hakiki.

Kitab falsafah Islam klasik ini mendatangkan kesan amat besar terhadap pemikiran Barat. Menerusi karya ini, pengarang membedah perbahasan mengenal Tuhan menggunakan akal.

 

Perempuan Seribu Satu Malam
(Scheherezade: Tales from the Thousand and One Nights)
AJ Arberry

Empat kisah dalam Perempuan Seribu Satu Malam karya cendekiawan British yang mengajar di Universiti Kaherah, Mesir membawa kita ke dalam labirin cerita yang mencengangkan.

Daripada petualangan heroik hingga perkasihan yang maksyuk, buku ini menghantarkan kita ke sisi keindahan dan keajaiban 1001 Malam dalam bahasa moden.

Ceteranya diambil daripada Hikayat 1,001 Malam yang masyhur, menjadikan karya ini memberi satu pengalaman sukar dilupakan untuk semua pencinta kisah klasik.

Penaklukan Andalusia
(The Conquest of Andalusia)
Jurji Zaidan

Menjelang detik-detik terawal penaklukan Andalusia oleh tentera Islam, kerajaan Kristian yang mentadbir ketika itu dilanda pelbagai kemelut.

Di sebalik cetera asmara antara seorang putera raja yang tersingkir dengan seorang gadis cantik, Penaklukan Andalusia mengheret pembaca ke sebuah dunia yang penuh tipu daya, helah perang, kebijakan dalam membuat keputusan dan sudah pasti, kehebatan para pejuang yang mendambakan kemenangan.

Novel karangan penulis kelahiran Lubnan ini memuatkan cerita yang penuh semangat tentang salah satu zaman penting dalam sejarah dunia.

Kepada Rumah Api
(To The Lighthouse)
Virginia Woolf

Mengapa manusia berkahwin? Selepas lapan anak dilahirkan, pasangan suami isteri Puan Ramsay dan Encik Ramsay mula mempersoalkan makna sebuah hubungan yang sekian lama terjalin.

Apakah perkahwinan sekadar beristeri, bersuami dan beranak? Penulis wanita kelahiran London, England yang terkenal ini mempersembahkan kehidupan harian sebuah keluarga Inggeris dalam novel ini, antara sastera terbaik abad ke-20. Sebuah adikarya yang hidup dan menggetarkan jiwa.

 

Muslihat Mahathir: Mengharung Zaman Gelora
(Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times)
Barry Wain

Buku tulisan bekas editor Asian Wall Street Journal itu mengupas kisah hidup dan perjalanan politik perdana menteri keempat selama 22 tahun yang dianggap keras, penuh kontroversi dan panas.

Mendakwa RM100 bilion diseleweng dalam tempoh itu, Wain juga menceritakan bagaimana Dr Mahathir membolot kuasa termasuk berkrisis dengan istana sehingga melabelnya “Agong yang tidak ditabal”.

Selain bertembung dengan bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan pembunuhan di Memali, buku ini mendedahkan latihan ketenteraan negara ini dengan Amerika Syarikat walau Dr Mahathir sentiasa menggambarkan dirinya anti-Barat.

Biografi politik perdana menteri keempat dan ketujuh ini turut mengulas cerita di balik pengharaman Umno pada 1988, krisis dengan badan kehakiman dan Tun Salleh Abas, skandal Perwaja dan kehilangan RM2.5 bilion BMF dan juga pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Sejarah Selangor 1766-1939
(A History of Selangor 1766-1939)
JM Gullick

Bekas pentadbir kolonial ini, yang berpengalaman luas di Tanah Melayu menjelang kemerdekaan, menceritakan latar belakang ekonomi negeri dan susur-galur politik pemimpin Bugis sebelum pembentukan Kesultanan Selangor.

Mengandungi 12 bab penting, sarjana ini mengupas pergeseran politik sehingga mencetuskan perang saudara, industri perlombongan bijih timah dan perwatakan baik sultan.

Turut dimuatkan sejarah awal Kuala Lumpur, antaranya catatan menukilkan seekor harimau terjatuh dari tebing Sungai Klang sewaktu banjir besar melanda pada 1930 dan menjadi detik kali terakhir haiwan itu pernah dilihat.

Gullick membincangkan masa hadapan kerajaan-kerajaan Melayu dan kedudukan Selangor dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu sebelum terbentuknya gagasan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.

 

Imam al-Ghazali: Hayat & Jasa Ilmuwan Ulung
(Muslim Intellectual:
A Study of Al-Ghazali)
W Montgomery Watt

Karya ini menyampaikan perjalanan pemikiran ulama besar dunia Islam sehingga karyanya Ihya Ulumuddin dan Tahafut al-Falasifah terus ditekuni sarjana Barat hingga kini.

Berbentuk biografi, ia menceritakan latar belakang politik dan ilmu zaman al-Ghazali membesar dan pengaruh falsafah dunia terhadapnya sehingga muncul ulama tersohor dalam bidang itu.

Namun, di kemuncak kesarjanaannya, al-Ghazali yang mahir ilmu kalam dan fikah mengalami krisis keraguan diri yang amat berat hingga menjejaskan kesihatannya sebelum hidup sebagai seorang sufi.

Profesor bidang agama dari Scotland, Watt pernah menjadi pensyarah bahasa Arab di Universiti Edinburgh dan selalu menganjurkan sikap toleransi antara agama.

 

Apa itu Tasawuf?
(What is Sufism?)
Martin Lings

Setebal 172 halaman, karya ini sebuah pengantar ringkas tetapi kupasannya mendalam dan berwibawa tentang tasawuf menurut pengalaman pengarangnya, yang juga ahli dalam bidang itu.

Martin Lings, atau nama Islamnya Abu Bakr Sirajuddin, menghuraikan kepercayaan, matlamat dan kehidupan para ahli sufi.

Beliau juga menjernihkan keraguan dan kecurigaan yang timbul terhadap tasawuf atau tarekat.

Buku kecil ini asalnya dihasilkan untuk pembaca di Barat (diterbit 1975) yang mula mendekati pengalaman ruhani dan tradisi agama Timur setelah berdepan kekacauan jiwa akibat kepesatan dunia moden.

Lings lebih dikenali sebagai penulis biografi Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal, judul paling laris bawah Siri Pencerahan Selangor.

 

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, terjemahan adikarya ini boleh didapati reruai 4053 hingga 4060 di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dari 10 pagi hingga 10 malam.


Pengarang :