Pemain Harimau Malaya Faisal Halim dan Brendan Gan meraikan jaringan ketika menentang Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, Qatar pada 25 Januari 2024. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Selangor sedia bantu tampung kos rawatan susulan Faisal Halim

SHAH ALAM, 18 MEI: Kerajaan Negeri sedia bantu menampung kos rawatan pemain sayap Harimau Malaya dan Selangor FC Faisal Halim selepas pemulihan.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata bagaimanapun ia bergantung kepada keperluan Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Kerajaan Negeri memang memantau rapat perkembangan Faisal termasuk aspek rawatan beliau, sebagai pemain berdaftar dengan Selangor FC mereka juga ada insurans kesihatan.

“Malah, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah juga menitahkan mahu menampung kos rawatan Faisal.

“Justeru, Kerajaan Negeri juga terbuka untuk membantu beliau berdasarkan keperluannya mungkin dari segi pemulihan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Penggerak Belia Selangor (PeBS) di Dewan Jubli Perak di sini malam tadi.

Mohd Najwan yang juga EXCO belia turut berharap Faisal mampu bangkit dan kembali cergas untuk beraksi semula di padang pada masa akan datang.

“Kita akan bantu untuk pastikan Faisal dapat kembali cergas dan kalau boleh kita mahu dia main semula untuk pasukan Selangor FC,” ujarnya.

Arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, pada 5 Mei lalu.

Faisal yang mengalami lecur tahap empat memasuki fasa pemulihan baharu iaitu rawatan rekonstruktif melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.


Pengarang :