Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam Univesiti Malaysia Sabah Dr Umar Muhammad Noor mengupas kitab hadis 40 karya Imam an-Nawawi pada Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 30 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kupasan kitab hadis 40 festival turath tarik kehadiran ratusan peserta

SHAH ALAM, 1 MEI: Ratusan umat Islam dari termasuk dari beberapa negara tidak melepaskan peluang mengikuti kupasan kitab hadis 40 karya Imam an-Nawawi sempena Festival Turath Islami Selangor, malam tadi.

Program di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah disini bermula selepas solat Maghrib dengan kupasan disampaikan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Umar Muhammad Noor.

Dalam ulasan hadis berkenaan, Dr Umar menghuraikan kisah Rasulullah SAW yang menzahirkan rasa kasih dengan menepuk bahu Abdullah Ibnu Abbas sebagai tanda cinta terhadap anak kecil.

“Hadis ini merupakan pengajaran dari Baginda kepada ibu bapa agar tidak kedekut rasa cinta terhadap anak-anak.

“Tiada orang yang lagi tinggi darjatnya dari Rasulullah tetapi baginda berkenan untuk berjumpa dengan anak muda seperti Ibnu Abbas kemudian menyentuh bahu beliau yang memberi kesan besar hingga hadis ini diriwayatkan,” katanya.

Orang ramai mendengar kupasan kitab hadis 40 karya Imam an-Nawawi yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam Univesiti Malaysia Sabah Dr Umar Muhammad Noor pada Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 30 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Festival kali kedua ini berlangsung sejak Ahad hingga 2 Jun dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Dimulakan dengan kupasan Kitab Hadis 40 oleh bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah dan Pameran Al-Wahyu yang membawa manuskrip tulisan tangan berusia ratusan tahun.

Turut berlangsung forum bertajuk Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu yang menampilkan ahli panel Ustaz Muhamad Abdullah, Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria dan Ustaz Mohamad Aizuddin Abdul Aziz.

Bertema Mendalami Khazanah Kitab Islam, maklumat program, lokasi serta pendaftaran boleh dibuat menerusi http://www.turathislamselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.

 


Pengarang :