EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han bercakap ketika sidang media selepas pelancaran Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lantikan syarikat kendali van transit ikut tatacara, bukan rundingan terus

SHAH ALAM, 29 MEI: Pelantikan dua syarikat pengendali perkhidmatan projek rintis van transit atas permintaan (DRT) di Selangor bukan secara rundingan terus.

EXCO mobiliti menegaskan Asia Mobility Sdn Bhd dan Badan Bas Coach Sdn Bhd dilibatkan dalam proses pembuktian konsep DRT untuk permohonan cadangan (RfP).

Menurut Ng Sze Han, dua syarikat itu dilibatkan ekoran hanya mereka memiliki lesen Agensi Pengangkutan Awam (Apad) yang mematuhi piawaian termasuk had usia kenderaan tidak lebih 10 tahun.

“Lesen pembuktian konsep yang diberi oleh Apad kepada kedua-dua syarikat ini hanya sah hingga 31 Ogos 2024, bukannya untuk tempoh berpuluh tahun dan bukan diperbaharui secara automatik.

“Itu menjadi asas kepada keputusan Jawatankuasa Kerajaan Negeri yang menetapkan tempoh pembuktian konsep hanya sembilan bulan, dari November 2023 dan tamat Julai 2024,” katanya menerusi kenyataan.

Sze Han menambah Badan Bas Coach Sdn Bhd yang diasaskan tokoh perniagaan Melayu, Tan Sri Nadzmi Mohd Salleh turut diberikan peluang sama untuk mengukuhkan sistem pengangkutan awam negeri.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri juga menerima cadangan daripada satu lagi syarikat yang berhasrat terlibat sama dalam proses pembuktian konsep iaitu Kumpool Sdn Bhd yang telah menerima kelulusan Apad.

Sebelum ini, ada beberapa pihak mempertikai berhubung projek tersebut diberi secara runding terus kepada sebuah syarikat namun disangkal ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tan Sri Azam Baki menegaskan kesalahan hanya akan berlaku jika kontrak tersebut diberikan oleh menteri atau kementerian yang diterajuinya kepada syarikat terlibat.


Pengarang :