EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Badanbas Coach Sdn Bhd Ibrahim Aiman Mohd Nadzmi bergambar di hadapan van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lantikan syarikat pengendali projek DRT Mobiliti Selangor dilulus Apad

SHAH ALAM, 24 MEI: Pelantikan dua syarikat pengendali bagi perkhidmatan projek rintis van transit atas permintaan (DRT) di Selangor diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Syarikat itu, Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badan Bas Coach Sdn Bhd melepasi proses pembuktian konsep, masing-masing pada 22 Disember 2022 dan 24 Februari 2023, kata EXCO mobiliti.

Menurut Ng Sze Han, kedua-dua syarikat itu turut dijemput membuat pembentangan kepada Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT untuk pertimbangan sebelum dilantik secara rasmi.

“Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT mengambil pendekatan bersetuju melantik kedua-kedua syarikat ini kerana kelulusan yang diberikan Apad pada waktu itu.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han bercakap ketika sidang media selepas Pelancaran Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Hal ini kerana pentadbiran ini ingin menepati piawaian ditetapkan pihak berwajib demi memastikan keselamatan pengguna perkhidmatan DRT terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, surat hasrat bagi perkara itu dikemukakan kepada syarikat pengendali perkhidmatan pada 15 Jun 2023, manakala surat pelantikan dikeluarkan pada 20 September 2023.

Beliau menambah kedua-dua syarikat beroperasi menggunakan empat van bagi percubaan pertama di lapan zon iaitu Ampang, Hulu Kelang, Puchong dan UPM-Serdang (Asia Mobility).

Tertumpu di kawasan padat dan sempit, Sze Han berkata syarikat Badan Bas pula beroperasi di laluan Subang Jaya, Petaling Jaya Utara dan Selatan serta Sungai Buloh.

Perkhidmatan DRT bawah inisiatif Mobiliti Selangor diperkenal Kerajaan Negeri bagi meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam yang dipandu dengan penganalisaan data.

Usaha berkenaan bagi menyelesaikan isu ketersambungan awal dan akhir ke sistem pengangkutan awam utama seperti stesen kereta api dan kawasan perumahan yang tidak boleh diakses Bas Smart Selangor.


Pengarang :