Lawrence Wong mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keempat Singapura di Istana, Singapura pada 15 Mei 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Lawrence Wong angkat sumpah perdana menteri keempat Singapura

SINGAPURA, 15 MEI: Lawrence Wong mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keempat Singapura di Istana, malam ini.

Wong, 51, menggantikan Lee Hsien Loong yang, 72, yang memegang tampuk pemerintahan negara selama hampir 20 tahun.

Upacara itu disiarkan di televisyen dan penstriman di platform media sosial, dimulai dengan nyanyian lagu kebangsaan, “Majulah Singapura” diikuti dengan ucapan Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Seterusnya, Wong mengangkat sumpah kesetiaan dan ikrar pelaksanaan tugas yang disaksikan Presiden dan Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon.

Ahli Parlimen GRC Marsiling-Yew yang mengekalkan portfolionya sebagai Menteri Kewangan kemudian menandatangani akuan sumpahnya.

Presiden kemudian menyampaikan suratcara pelantikan kepada Wong.

Seterusnya, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong (juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan) dan Heng Swee Keat, diikuti Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan Teo Chee Hean, yang juga Menteri Penyelaras untuk Keselamatan Negara, mengangkat sumpah.

Kemudian 14 menteri, terdiri daripada sembilan Menteri Negara Kanan dan lima Menteri Negara juga mengangkat sumpah. Seorang lagi Menteri Negara, Murali Pillai akan dilantik dan mengangkat sumpah pada 1 Julai.

Kesemua menteri mengangkat sumpah kesetiaan dan ikrar pelaksanaan tugas serta menerima suratcara pelantikan mereka daripada Presiden.

Wong mengumumkan barisan Kabinetnya pada Isnin, 13 Mei selepas Lee memaklumkan kepada Presiden hasratnya untuk meletakkan jawatan pada 15 Mei bersama kerajaannya pada hari sama.

– BERNAMA


Pengarang :