AGENDAJENAYAH

Lelaki hilang daki bukit sejak empat hari lalu ditemukan selamat

BATU KAWAN, 22 MEI: Pemuda yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ketika mendaki di Bukit Hill Top Batu Kawan di sini, ditemukan selamat 2 petang tadi.

Muhammad Azfar Ismail, 29, dijumpai nelayan tempatan di kawasan paya bakau dekat jeti nelayan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan, kira-kira tiga kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Chong Boo Khim berkata ketika ditemukan, mangsa berada dalam keletihan dengan sedikit kesan calar di tangan dan dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk menerima rawatan.

“Laporan kehilangan mangsa dibuat abangnya 19 Mei lalu yang memaklumkan adiknya mendaki bukit Batu Kawan pada 5 petang, 18 Mei.

“Mangsa dikatakan sudah biasa mendaki bukit di situ, jadi bila dia tidak balik ke rumah, abangnya membuat laporan pada keesokannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat digerakkan pada 2 pagi hari sama oleh pasukan polis, namun gagal menjumpai sebarang kesan dan bukti di lokasi kejadian.

Chong berkata operasi kemudian diteruskan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung selain turut menggerakkan unit K9 bomba untuk mencari mangsa.

Beliau berkata punca mangsa hilang belum diketahui dan akan mengambil keterangan mangsa sebaik keadaannya stabil.

Terdahulu, penduduk kampung turut melakukan solat hajat bagi memohon dipermudah usaha mengesan lelaki itu.

Bukit Hill Top Batu Kawan sering menjadi tumpuan pendaki untuk berjoging pada sebelah petang terutama hujung minggu.

– BERNAMA


Pengarang :