Intan Suria Hashim (dua, kiri) bersama empat lagi rakan mendapatkan barangan asas ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Gelanggang Bola Keranjang Klang Utama, Klang pada 13 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lima sekawan tidak lepas peluang berbelanja di jualan murah

KLANG, 13 MEI: Lima sekawan tidak pernah melepaskan peluang berbelanja barangan dapur setiap kali penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Suri rumah Intan Suria Hashim, 52, berkata beliau bersama empat lagi rakan akan melapangkan masa untuk mengunjungi program itu kerana harganya murah berbanding pasaran luar.

“Jualan ini bagus kerana murah dan dapat jimatkan puluhan ringgit sekali gus dapat meringankan beban suami tidak perlu berbelanja lebih.

“Setiap kali dapat maklumat berkenaan jualan, kami semua tidak melepaskan peluang untuk datang sambil menunggu mengambil anak-anak balik dari sekolah,” katanya.

Pengunjung menunggu giliran mendapatkan barangan asas ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Gelanggang Bola Keranjang Klang Utama, Klang pada 13 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang diadakan di Gelanggang Bola Keranjang Klang Utama di sini hari ini.

Alice Tan

Bagi Alice Tan, 68, pula, beliau sudah datang ke jualan iti lebih lima kali kerana kualiti barangan disediakan berkualiti dan setanding pasaran luar.

“Saya sangat suka beras yang dijual kerana bagus dan tahan lama. Saya berharap mereka dapat kekalkan kualiti beras itu dan harga dijual murah berbanding pasaran luar.

“Selain itu, saya berharap program jualan ini tidak dihentikan kerana meringankan beban khususnya keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang Eddie Tiew berkata rata-rata pengunjung menunggu giliran seawal jam 9 pagi biarpun program bermula 10 pagi.

“Kurang daripada dua jam, ayam dan telur telah habis dijual kerana dua barangan ini sentiasa menjadi tumpuan berikutan harganya amat murah.

“Selain itu, barangan lain turut menjadi tumpuan ialah sayur-sayuran segar yang dibawa terus daripada Selangor Fruit Valley,” ujarnya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).


Pengarang :