Kakitangan Air Selangor melaksanakan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Loji air disenggara 5 Jun, pengguna dinasihat simpan bekalan

SHAH ALAM, 15 MEI: Kerja selenggara dan penggantian aset Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) berjadual akan dilaksana mulai jam 9 pagi hingga jam 7 malam, pada 5 Jun.

Proses penambahbaikan yang menyebabkan gangguan bekalan air berjadual melibatkan wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

“Pelanggan terjejas dinasihatkan supaya menyimpan bekalan secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan,” kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Dalam kenyataan di Facebook, pengguna dijangka menerima bekalan secara berperingkat mulai jam 3, pagi pada 6 Jun setelah kerja tersebut selesai dan sistem agihan utama bekalan distabilkan.

Tambah syarikat itu, lori tangki akan digerakkan ke kawasan terjejas dengan mengutamakan premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian .

Jelasnya lagi, pelanggan komersial di wilayah terjejas juga boleh membeli bekalan air terawat di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor.

“Mereka juga boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Breamer Estet (Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (Sepang), serta Taman Banting Baru (Kuala Langat),” katanya.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor melalui talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.


Pengarang :