Kakitangan Air Selangor melaksanakan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Loji rawatan diselenggara, pengguna dijangka terima bekalan mulai 3 pagi, 6 Jun

SHAH ALAM, 22 MEI: Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan melalui proses selenggara dan penggantian aset mulai 9 pagi dan dijangka siap jam 7 malam pada 5 Jun.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, kerja berkenaan membabitkan pengguna di wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Berikutan itu Air Selangor menggerakkan lori tangki air ke kawasan terlibat dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Untuk pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor selain mereka juga boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka.

Stesen air itu di Breamer Estet (Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (Sepang), serta Taman Banting Baru (Kuala Langat).

Kenyataan itu menyebut pengguna dijangka menerima bekalan secara berperingkat mulai 3 pagi pada 6 Jun setelah kerja itu selesai dan sistem agihan utama bekalan distabilkan.

Air Selangor juga menasihatkan pelanggan terjejas supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh terbabit.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor melalui talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/


Pengarang :