Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut Presiden Kyrgyzstan Sadyr Nurgojeyevich Japarov ketika upacara kawalan perbarisan kawalan kehormat dan seterusnya perjumpaan empat mata serta mesyuarat dua hala antara kedua negara ketika lawatan rasmi di Bishkek, Kyrgyzstan pada 15 Mei, 2024. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

Malaysia dan Republik Kyrgyz komited pertingkat kerjasama hubungan dua hala

Daripada Siti Salwa Shaari

BISHKEK, 15 MEI: Malaysia dan Republik Kyrgyz hari ini mengesahkan komitmen mereka bagi meningkatkan kerjasama dua hala untuk manfaat bersama kedua-dua negara dan rakyat masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Sadyr Zhaparov menandatangani kenyataan bersama selepas pertemuan empat mata di Kediaman Negara Ala Archa di sini sekali gus mengesahkan hasrat serta kesediaan mereka untuk meningkatkan kerjasama secara menyeluruh.

Terdahulu, Anwar yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari atas jemputan Zhaparov, telah diberikan sambutan rasmi dan lagu kebangsaan kedua-dua negara berkumandang sebelum beliau memeriksa kawalan kehormatan tentera republik itu.

Menerusi kenyataan bersama yang dikongsikan dengan media, kedua-dua pemimpin menggariskan tiga bidang untuk meningkatkan kerjasama iaitu politik; perdagangan, ekonomi dan pelaburan serta kebudayaan dan kemanusiaan.

Antara lain, kedua-dua pemimpin menekankan komitmen bersama untuk meningkatkan keselamatan serantau dan mengakui kepentingan usaha bersama dalam menangani cabaran serta ancaman seperti keganasan antarabangsa, ancaman siber, jenayah rentas negara dan penyeludupan dadah.

“Kedua-dua pemimpin menyedari keperluan menangani kesemua cabaran ini secara holistik dan oleh itu, komited untuk memudahkan, sejauh mungkin, kerjasama dalam pertukaran maklumat dan penyelarasan tindakan di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Anwar dan Zhaparov turut mengakui kepentingan tindakan yang diselaras dalam organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan sebagainya.

Mereka komited untuk bersama-sama menyokong inisiatif yang bertujuan memperkukuh ketenteraman dunia, keadilan dan pematuhan undang-undang antarabangsa.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa kedua-dua pemimpin bersetuju mengiktiraf kepentingan dialog yang kerap dan terbuka antara kerajaan mereka serta berikrar untuk memastikan perundingan tetap di pelbagai peringkat termasuk mesyuarat peringkat tinggi dan kanan selain mesyuarat wakil diplomatik dan pakar.

“Kesemua ini akan menyumbang kepada pertukaran pendapat mengenai isu global semasa serta perbincangan mengenai perkara yang berkepentingan dua hala dan pelbagai hala,” menurut kenyataan itu.

Mereka juga menyedari kepentingan memperkukuh kerjasama antara parlimen kedua-dua negara sebagai komponen penting dalam meningkatkan hubungan dua hala.

Ini termasuk menganjurkan mesyuarat tetap Ahli Parlimen di peringkat kumpulan persahabatan dan jawatankuasa antarabangsa, mengatur lawatan balas penceramah dan jawatankuasa lain yang berkaitan serta Ahli Parlimen kedua-dua negara.

Selain itu, Anwar dan Zhaparov menyatakan kesediaan mereka untuk berusaha secara aktif ke arah memperkukuh dan mengembangkan kerangka perundangan dua hala untuk kerjasama.

“Kedua-dua pemimpin akan mempergiat proses membangun dan memeterai perjanjian dua hala baharu merangkumi pelbagai aspek kerjasama termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, penjagaan kesihatan, pelancongan, pensijilan, sains, teknologi baharu dan sebagainya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Malaysia dan Republik Kyrgyz mengiktiraf kepentingan pendidikan sebagai komponen utama kerjasama kebudayaan serta kemanusiaan.

Kedua-dua pemimpin yakin perkembangan hubungan pendidikan dan kebudayaan akan menyumbang kepada persefahaman bersama yang lebih mendalam serta memperkaya warisan budaya.

Mereka percaya kesemua usaha ini akan mengeratkan hubungan mesra rakyat kedua-dua negara.

“Kedua-dua pihak akan menyokong secara aktif pertukaran pengalaman pendidikan termasuk program pertukaran pelajar, program bersama bagi sarjana dan doktor falsafah, lawatan akademik serta projek-projek penyelidikan secara kolaboratif.

“Ini akan menyumbang kepada pengayaan pelbagai aspek amalan pendidikan dan menyokong pembangunan institusi pendidikan khas tinggi serta menengah di kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut kedua-dua pemimpin akan memberi perhatian khusus kepada perkembangan kerjasama dalam bidang budaya fizikal dan sukan sebagai cara menggalakkan gaya hidup sihat.

“Kedua-dua pihak akan meningkatkan pertukaran delegasi sukan, berusaha menganjurkan kem latihan bersama dan menyokong penyertaan atlet dalam pertandingan antarabangsa yang diadakan dalam wilayah kedua-dua negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :