Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan baucar subsidi tambang bas sekolah kepada pelajar sempena program penyerahan bantuan blueprint dan sumbangan khas Sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Dewan Orang Ramai Batang Kali, Hulu Selangor pada 25 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Rizab naik walau negeri banyak salur bantuan kepada rakyat

SHAH ALAM, 3 MEI: Rizab simpanan negeri Selangor terus bertambah dan mencatatkan peningkatan setiap tahun sejak 2019 meskipun kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk inisiatif kebajikan rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keadaan itu amat berbeza berbanding semasa pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari 2015 hingga 2018 yang didapati hanya menghabiskan rizab simpanan negeri tetapi perbelanjaan inisiatif kebajikan untuk rakyat tidak bertambah.

Menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini, beliau berkata penyusutan rizab simpanan negeri dapat dilihat apabila Mohamed Azmin mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2015 dengan rizab sedia ada berjumlah RM3.26 bilion sebelum menurun kepada RM3.05 bilion pada 2016.

Pengerusi HARAPAN Selangor itu berkata jumlah rizab simpanan negeri terus merekodkan penurunan pada 2017 serta menyusut teruk tahun berikutnya iaitu masing-masing RM2.84 bilion dan RM2.14 bilion.

“Dulu masa pilihan raya negeri, (Mohamed Azmin) cakap zaman dia rizab rendah sebab dia belanja banyak. Marah dekat saya kononnya rizab tinggi tapi tidak berbelanja, sekarang nak dakwa kata zaman dia rizab tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan Mohamed Azmin bahawa rizab simpanan negeri mencecah lebih RM4 bilion ketika Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang itu mentadbir Selangor sebagai menteri besar.

Amirudin berkata sejak mengetuai pentadbiran kerajaan negeri pada 2019, beliau berterusan berusaha menambah rizab simpanan negeri demi kebaikan generasi masa depan dan pada masa sama, memperbanyak inisiatif untuk kebajikan rakyat Selangor.

Beliau berkata perbelanjaan inisiatif kebajikan rakyat dinaikkan kepada RM2.37 bilion, peningkatan lebih sekali ganda, berbanding RM1.3 bilion yang diperuntuk Mohamed Azmin pada tahun sebelumnya selepas kerajaan HARAPAN berjaya menambah semula rizab negeri daripada RM2.14 bilion pada 2019 kepada RM2.45 bilion pada 2020.

“Rizab negeri terus bertambah kepada RM2.8 bilion dan RM3.29 bilion pada 2021 dan 2022 sebelum menambah RM3.4 bilion tahun lepas, rekod rizab tertinggi terhimpun sejak 2008,” katanya sambil menambah jumlah itu tidak termasuk perbelanjaan RM1 bilion bagi menyediakan pakej rangsangan ekonomi ketika pandemik Covid-19 dan pembelian vaksin untuk rakyat Selangor.

Justeru itu, Amirudin meminta rakyat khususnya di Kuala Kubu Bharu agar tidak terkeliru dan termakan hasutan yang disifatkan sebagai bercelaru.

“Terbukti Kerajaan Perpaduan berhemah dalam berbelanja dan pada masa sama, mengutamakan kebajikan rakyat Selangor,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :