Datuk Bandar Shah Alam Cheremi Tarman (tengah) diiringi Pengarah Pembangunan Komuniti MBSA Shahrin Ahmad (kiri) dan Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Mohd Azhar Mohd Sharif bergambar bersama sijil Anugerah Standard Bandar Pelancong Bersih Asean peringkat kebangsaan yang diterima Majlis Bandaraya Shah Alam pada Majlis Anugerah Standard Pelancongan Aseandi Cyberview Resort & Spa pada 29 April 2024. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam
PBTSELANGOR

MBSA raih Anugerah Standard Bandar Pelancong Bersih Asean

SHAH ALAM, 3 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) muncul sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) tunggal di Selangor merangkul Anugerah Standard Bandar Pelancong Bersih Asean peringkat kebangsaan.

Pengarah korporat dan perhubungan awamnya berkata anugerah berkenaan dinilai berdasarkan tujuh petunjuk utama antaranya pengurusan alam sekitar, kebersihan, pengurusan sisa, kesedaran tentang perlindungan alam sekitar dan kebersihan.

Menurut Mohd Azhar Mohd Sharif, turut dinilai inisiatif melaksanakan landskap hijau, keselamatan kesihatan dan bandar serta infrastruktur pelancongan.

“MBSA komited untuk terus meningkatkan kualiti dan kemudahan pelancongan di bandaraya Shah Alam bagi menarik lebih ramai pelancong, sama ada domestik dan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada penciptaan bandar yang mampan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Penilaian anugerah berkenaan berlangsung pada 17 dan 18 Ogos tahun lalu dengan semua data dan petunjuk yang disediakan telah dibentangkan kepada panel juri.

Pada 29 April lalu, Datuk Bandar Shah Alam Cheremi Tarman menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) Datuk Roslan Abdul Rahman dalam satu majlis di Cyberview Resort and Spa.

Anugerah itu dianjurkan oleh Motac bagi mengiktiraf pemain industri pelancongan yang memenuhi piawaian pelancongan Asean.


Pengarang :